Tiada Unsur Jenayah Penganggur Cedera Dalam Letupan


BINTULU – Polis menjelaskan kejadian seorang penganggur cedera parah dalam kejadian letupan di Kampung Sebiew di sini malam tadi tiada unsur kianat atau jenayah.

Ketua Polis Bintulu Supt Zulkipli Suhaili berkata lelaki tempatan berumur 27 tahun itu melecur di kedua-dua kaki, tangan, leher dan muka akibat letupan daripada wayar yang dibakar di belakang rumah sewa lelaki itu pada kira-kira 7.25 malam tadi.

“Saya menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zuklipli berkata, hasil siasatan Unit Bom Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bintulu yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati letupan kecil itu berlaku ketika mangsa sedang membakar wayar untuk mendapatkan tembaga di dalamnya.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur khianat atau jenayah dalam kes ini namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dan menurutnya mangsa dihantar ke Hospital Bintulu untuk rawatan. – Bernama