TMJ Buat ‘Wake-Up Call’ Buat Exco FAM?


SEPANG - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi menyifatkan kenyataan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu melepaskan jawatan Presiden badan bola sepak negara itu mungkin sekadar gurauan.

Bagaimanapun katanya, andai Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu benar-benar serius dengan apa yang diperkatakan, ia umpama ‘wake up call’ buat semua Exco FAM untuk bekerja lebih keras.

“Saya ada melihat rakaman video tersebut dan saya percaya ada kemungkinan TMJ mahu bergurau dan memang saya menganggapnya sebagai gurauan.

“Bagaimanapun, sekiranya beliau benar-benar maksudkan perkara itu saya fikir ia adalah ‘wake-up call’ untuk semua Exco agar bekerja lebih keras.

“TMJ adalah individu yang paling layak membawa FAM ke dimensi baharu dan saya percaya semua Exco FAM perlu berganding bahu bersama beliau untuk meningkatkan mutu bola sepak negara.

“Pada masa sama, saya percaya mungkin ada pihak tertentu yang sengaja memburukkan atau menanam kebencian terhadap TMJ sebab golongan tersebut tidak menyukai beliau,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Pada Rabu TMJ memberi bayangan bahawa beliau akan meninggalkan FAM tidak lama lagi selepas memuat naik rakaman video di Facebook JOHOR Southern Tigers (JST) yang berdurasi selama 4:17 minit.

Dalam rakaman video tersebut Tunku Ismail memberi bayangan tidak akan menyandang jawatan Presiden FAM untuk jangka masa panjang dan mungkin melepaskan jawatan pada 2018 atau 2019.

Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) turut menggesa semua pihak agar tidak terlalu memberi tekanan kepada Tunku Ismail, sebaliknya memberi sokongan.

Sumber: Utusan Online