TPM Beri Amaran Kepada Mereka Yang Jual Perlawanan


PUTRAJAYA - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran bahawa Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pemain, jurulatih dan pengurusan Liga Malaysia yang bertindak menjual perlawanan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pihak yang melakukan penjualan perlawanan perlu segera disiasat dan diheret ke mahkamah ekoran sikap tamak haloba mereka seolah-olah ganjaran diperoleh selama ini tidak mencukupi.

"Kami terhidu bau ini dan ini diketahui umum tetapi buktinya tersorok dengan pihak bookies.

"Jadi, selaras dengan komitmen Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam menghapuskan premis judi, tindakan terhadap perjudian dalam erti menjual perlawanan juga perlu dilaksanakan," katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Bola Sepak PDRM Liga Perdana Musim 2018, di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Timbalan Ketua Polis Negara merangkap Presiden Pasukan Bola Sepak PDRM, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Pada majlis tersebut, Pasukan Bola Sepak PDRM turut menerima bas rasmi baharu mereka.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid menegaskan, beliau tidak akan sesekali membiarkan sesiapa pun yang melakukan penjualan perlawanan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Jika diimbas pada musim-musim lalu, kata beliau, pihaknya turut mengetahui terdapat dalam kalangan pengadil bersekongkol dengan bookies.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, golongan pengadil juga tidak akan terlepas jika mereka bertindak mengambil rasuah dalam perlawanan.

"Ini adalah amaran Ahmad Zahid Hamidi. Maksudnya, bukan amaran sahaja tetapi disusuli tindakan. Ini kerana walau setiap tahun ada tawaran berbentuk gaji dan elaun serta bonus, malah terdapat juga beberapa insentif lain dipertingkat, tetapi mutu perlawanan tidak meningkat.

"Padahal pemain kita dibayar gaji yang tinggi dengan pasukan berlumba-lumba membayar tinggi. Oleh itu, saya serius untuk basmi kegiatan menjual perlawanan ini selaras dengan permintaan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini," katanya.

Ahmad Zahid turut mengumumkan komitmen beliau untuk memberi bonus sebanyak RM500,000 kepada Pasukan Bola Sepak PDRM sekiranya pasukan itu muncul johan Liga Perdana pada musim ini.

Sementara itu, katanya, jika muncul naib johan, beliau akan memberi bonus sebanyak RM250,000 kepada pasukan berkenaan.

"Jadi, sambutlah cabaran ini. Kepada jurulatih, Zulhamizan Zakaria, kalau pasukan ini muncul johan, beliau akan diberikan bonus sebanyak RM100,000," katanya.

Sumber: Utusan Online