Tujuh Ditahan Ketika Main Judi Dalam Talian Di Sungai Petani


ALOR SETAR - Tujuh lelaki termasuk seorang warganegara asing dicekup polis kerana didapati terlibat dalam perjudian dalam talian dalam satu serbuan di restoran makanan di Taman Keladi, Sungai Petani petang kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata,  dalam serbuan pada jam 5.30, pasukan polis dari  Bahagian Siasatan Jenayah dan Task Force Ibu Pejabat Daerah Kuala Muda, melakukan serbuan di premis makanan terbabit.

"Dalam operasi itu, seramai tujuh lelaki berusia 18 hungga 61 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian online ditahan dan polis turut merampas satu unit telefon bimbit, 12 unit tablet dan wang tunai bernilai RM407.

"Hasil siasatan awal, pihak kami mendapati premis makanan berkenaan baru beroperasi selama tiga hari, sebelum serbuan dilakukan," katanya kepada media, di sini, semalam.

Tambahnya, premis perjudian online tersebut tersorok di bahagian belakang restoran yang diserbu.

"Pihak penjaga premis judi online tersebut  telah menyediakan beberapa unit tablet kepada pelanggan untuk bermain judi melalui talian  dalam premis berkenaan,"katanya memetik Sinar Online.

Jelas Saifi, dua daripada tujuh lelaki yang ditahan merupakan penjaga premis. Empat lelaki tempatan dan seorang warga asing berusia 30-an adalah pelanggan judi online.

"Sementara, pelanggan warganegara asing tersebut didapati telah tinggal lebih masa yang dibenarkan di Malaysia.

"Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 9 Januari ini untuk kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalankan aktiviti rumah perjudian tanpa lesen dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 ke atas lelaki warga asing didapati tinggal lebih masa di Malaysia," ujarnya. - Kedahnews.com