Tular Di Facebook Kain Terbakar Lepas Dikeringkan?


TULAR di media sosial baru-baru ini, apabila seorang pemilik akaun Facebook mendakwa, berlaku kebakaran di dalam keretanya yang diletakkan di dalam garaj.

Kebakaran didakwa berpunca daripada kain di dalam bakul yang telah dicuci dan dikeringkan, lalu disimpan di dalam kereta.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 11 malam.

“Natijahnya. Kalau keringkan kain di dobi kena pastikan sejuk baru simpan. Kain tu kain dari spa. Jadi dia berminyak. Maknanya dari petang lagi sudah terbakar sikit-sikit.

“Pengajarannya, kain yang dikeringkan di dobi jangan letak terus dalam bakul. kipas-kipas dulu.

Sebelum tu kain spa tu dah pernah terbakar dalam bakul masa di dobi lagi lepas kering,” katanya yang dipetik daripada akaun Facebooknya.

FAKTA

KETUA Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Mohd Hisam Mat Yasih berkata, amat mustahil kebakaran boleh berlaku seperti didakwa pemilik akaun Facebook terbabit.

“Dalam keadaan begitu, kain tersebut walaupun telah dikeringkan dan masih panas, namun ia cepat sejuk.

“Tetapi sekiranya ia boleh terbakar sekali pun, ia mungkin berpunca daripada sumber-sumber atau bahan mudah terbakar lain yang berdekatan dengan kain berkenaan,  menyebabkan kebakaran,” katanya.

Bagaimanapun katanya, siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengetahui punca kebakaran.

Setakat ini, pihaknya tidak pernah menerima aduan berkaitan kes tersebut.

Sumber: Sinar Online