Tular Kisah MB Pernah Baling Kad Merah Atas Pokok, Digantung Seumur Hidup


MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan beliau digantung seumur hidup daripada bermain bola sepak oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), selepas dilayangkan kad merah dalam satu perlawanan kira-kira 40 tahun lalu.

Menurutnya, walaupun kini sudah bergelar Presiden PBNS, beliau tidak mahu penggantungan itu ditarik balik kerana mengakui kesalahannya dalam insiden berkenaan.

“Ada usul dari ahli majlis PBNS kira-kira tujuh atau lapan tahun lalu untuk menamatkan penggantungan itu, tetapi saya kata tidak perlu, kerana memang saya salah dan saya layak dibuang padang serta terpaksa menanggungnya,” katanya, dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.

Mengimbau semula insiden itu, beliau berkata, ia berlaku dalam semasa perlawanan akhir liga tempatan pada tahun 1977 melibatkan pasukannya, NS Malays dengan NS Indians di padang Majlis Perbandaran Seremban.


“Dalam perlawanan itu, saya bermain sebagai pertahanan ditugaskan mengawal pemain kebangsaan, G. Torairaju dan permainannya sangat bagus, dia laju.

“Saya dilayangkan kad kuning (selepas mengkasari Torairaju) tetapi saya bantah dan tendang bola sehingga terkena pengadil.

“Pengadil tunjukkan kad merah, saya rampas kad dari tangan pengadil dan baling ke atas lalu tersangkut di atas pokok.

“Selepas kejadian itu, saya tidak boleh bermain lagi seumur hidup,dan itu adalah perlawanan terakhir saya secara rasmi,” katanya

Beliau mengulas demikian ketika ditanya mengenai kisah, insiden kad merah Tok Mat yang kini tular di laman sosial.

Sumber: Sinar Online