Tular Maggi Palsu Tidak Berasas, Kata Nestle


SHAH ALAM - Nestle Malaysia semalam menafikan bahawa terdapat produk palsu mi segeranya jenama Maggi sambil menyifatkan penularan itu tidak berasas.

Melalui kenyataan yang diberikan melalui Facebook rasmi Maggi kepada wartawan Sinar Harian, Nestle memberitahu bahawa pihaknya sedia maklum dengan penularan gambar berkenaan.

"Kami sedia maklum bahawa terdapat pengedaran mesej tentang produk Maggi. Kami memberi jaminan bahawa mesej ini adalah tidak berasas," katanya.

Nestle berkata, semua produknya dikeluarkan di bawah syarat-syarat pengilangan yang ketat.

"Kami juga memastikan produk-produk kami mematuhi kawalan keselamatan dan kualiti makanan yang tinggi.

"Kami memberi jaminan bahawa keselamatan dan kualiti produk kami adalah keutamaan yang tidak akan kami abaikan sama sekali," katanya.

Nestle menasihati semua pengguna untuk membeli produk Nestle daripada kedai dan pasaraya yang sah dan dipercayai.

Pengguna yang memerlukan penjelasan lanjut, boleh hubungi Perkhidmatan Pengguna Nestle di talian 1-800-88-3433.

Hari ini, tular di media sosial mengatakan bahawa pengguna perlu berhati-hati terhadap Maggi palsu buatan China yang dijual di pasaran tempatan.

Penularan gambar Maggi itu mendapat perhatian dan perkongsian yang tinggi di Facebook.

Sumber: Sinar Online