Tunai Hasrat Arwah Ustaz Murtadha Bina Masjid


ALOR SETAR - Pihak jawatankuasa pembinaan Masjid Darul Murtadha dan Pembangunan Fasa Kedua Maahad Tahfiz Intan menyatakan hasrat untuk teruskan usaha menunaikan hasrat Allahyarham Ustaz Murtadha Yusoff untuk membina masjid biarpun beliau sudah tiada.

Pengerusi Pembangunan dan Dana, Ustaz Idrus Ahmad berkata, hasrat Murtadha sebelum ini ingin membangunkan sebuah masjid di hadapan Kompleks Maahad Tahfiz Intan dan dijadikan sebagai pusat dakwah.

Apa yang difahamkan, arwah menyatakan hasrat membina masjid pada pertengahan 2017 dalam perjumpaan di pusat pengajian itu.

“Masa itu arwah mai jumpa saya, dia kata nak bina masjid dan bangunkan pengajian pondok.

“Lepas tapak yang dipilih di tempat lain tak sesuai, saya kata mai buat di sinilah, boleh kita bangunkan sama-sama,” katanya.

Idrus yang sebelum ini berusaha membangunkan Kompleks Maahad Tahfiz Intan menceritakan kepada Murtadha bahawa maahad tahfiznya sedang dalam pembinaan fasa kedua di mana kini seramai 50 pelajar tahfiz dan dua pelajar pondok telah berdaftar dan memulakan pengajian.

“Lepas seminggu kami sembang, arwah mai jumpa dan Alhamdulillah dia setuju bina masjid di sini membuatkan saya menerima hasratnya itu dengan lapang dada.

“Saya juga pernah melawak dengan beliau minta sama-sama bangunkan maahad tahfiz sebab saya habaq, kalau saya mati dulu, Ustaz Murtadha boleh teruskan niat sebarkan ilmu agama, sama juga dengan dia,” katanya.

Tambah Idrus, pihaknya sedih setelah mendapat berita tentang kemalangan membabitkan Murtadha dan rakan pendakwah lain 4 Januari lalu.

Namun begitu, pihak pengurusan pembinaan masjid dan maahad tahfiz tetap dengan hasrat meneruskan kerja-kerja pembinaan seperti dirancang.

“Kita terima masuk kontena yang bakal dijadikan pejabat pengurusan, malah pembinaan Masjid Darul Murtadha juga akan tetap diteruskan awal Februari ini,” katanya.

Menurutnya, Murtadha yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Dana pembinaan Masjid Darul Murtadha dan pembinaan fasa kedua Maahad Tahfiz Intan berhasrat mewujudkan institusi pondok selain memberi peluang kepada pelajar tahfiz dan orang dewasa belajar di kompleks sama.

Setakat ini, sebuah pondok telah disiapkan, sebuah kelas dan asrama siap dibina, namun untuk fasa kedua maahad tahfiz, sembilan pondok, rumah guru, tiga kelas, ruang letak kereta dan tempat riadah akan dibina.

Masjid Darul Murtadha cetusan Allahyarham Ustaz Murtadha dianggarkan mampu memuatkan 500 jemaah satu-satu masa.

“Kami amat mengagumi semangat Allahyarham yang begitu bermotivasi tinggi selain sanggup berkorban menuntut ilmu demi dakwah dalam masa sama menginfakkan segala-galanya demi agama.

“Sebelum bertolak ke Riau, Indonesia untuk berdakwah, almarhum sempat periksa tapak masjid dengan seorang pekerja dalam keadaan basah hujan renyai-renyai.

“Dia kata, sebelum dia pi (bertolak) dia nak tengok juga tapak masjid. Insya-ALLAH kami akan tunaikan hasrat terakhir beliau untuk bangunkan masjid di sini dan akan kekalkan namanya sebagai Masjid Darul Murtadha,” katanya.

Sebarang sumbangan boleh dibuat menerusi Bank Islam 02114010005958 atas nama Pusat Dakwah Darul Murtadha.

Orang ramai juga boleh menyumbang ke akaun Maybank 552189507087 atas nama Maahad Tahfiz Intan.

Pertanyaan boleh hubungi talian 0134088820. - Kedahnews.com