Twitter Enggan Sekat Akaun Trump, Pemimpin Dunia


WASHINGTON - Twitter semalam mengumumkan tidak akan menyekat akaun pemimpin dunia walaupun kenyataan mereka bersifat kontroversi.

Twitter menyatakan, ia bertindak demikian kerana keperluan mempromosi 'perbincangan awam' mengenai isu politik.

Pengumuman dibuat beberapa hari selepas tweet daripada Presiden Donald Trump memberi petunjuk kepada penggunaan senjata nuklear Amerika Syarikat (AS) yang mencetuskan kritikan rangkaian sosial itu membenarkan ancaman keganasan.

"Twitter wujud untuk berkhidmat dan membantu memajukan perbincangan global dan terbuka.

"Pemimpin yang dipilih memainkan peranan kritikal dalam perbincangan kerana impak mereka kepada masyarakat.

"Menyekat pemimpin dunia daripada menggunakan Twitter atau memadamkan tweet kontroversi menyembunyikan maklumat penting yang perlu dilihat dan dibahaskan orang ramai," kata syarikat berkenaan dalam blognya.

Twitter tidak merujuk Trump atau tweetnya minggu ini yang menyatakan beliau mempunyai 'butang nuklear' yang lebih besar dan berkuasa berbanding dimiliki Korea Utara.

Beberapa aktivis berkata, Twitter perlu mengharamkan Trump, manakala satu kumpulan menunjukkan imej ibu pejabat firma itu dengan mesej '@jack is #complicit,' merujuk kepada Ketua Eksekutifnya, Jack Dorsey dan 'Ban @realDonaldTrump.' - AFP