ALOR SETAR - Kedah akan melengkapkan perlawanan pramusim dengan ujian terakhir bertemu UKM FC di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok jam 9 malam ini.
Menurut ketua jurulatih Kedah, Ramon Marcote, perlawanan malam ini penting bagi memastikan keseluruhan pemain benar-benar bersedia menghadapi cabaran Liga Malaysia yang akan bermula pada 3 Februari ini dan mampu memberi input terbaik sepenuhnya dalam usaha melengkapkan pasukan.
"Saya mahu setiap pemain dapat memberi fokus terbaik dalam perlawanan terakhir pramusim ini dan mampu membuktikan mereka sudah cukup bersedia menggalas cabaran untuk beraksi dalam perlawanan sebenar."
"Antara pemain yang dijangka turun dan masih belum dilihat beraksi dalam perlawanan pramusim sebelum ini ialah pemain muda bawah 23 negara iaitu Akhyar Rashid dan Ifwat Akmal sementara seorang lagi pemain import dari Brazil ialah Sandro Da Silva.
Skuad Lang Merah mengharungi perlawanan pramusim melibatkan tiga perlawanan di Indonesia bertemu Persela Lamongan, Persija Jakarta dan Madura United dan tiga lagi perlawanan menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak FC (PKNP FC), Pulau Pinang dan pasukan dari Thailand Suphanburi FC.
Dalam semua perlawanan pramusim setakat ini Kedah mencatatkan keputusan seri tiga kali, menang dua kali dan kalah sekali.
Sumber: BH Online