UK Senaraikan Malaysia Antara Negara Berisiko Berlaku Serangan Pengganas


LONDON - Malaysia tersenarai sebagai antara negara yang berisiko berlaku serangan pengganas oleh Kementerian Luar UK.

Negara-negara yang turut tersenarai termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Jerman dan Belgium.

Selain itu, negara jiran seperti Indonesia dan Thailand serta Filipina juga dikategorikan sebagai negara yang cenderung atau kemungkinan tinggi berlakunya serangan itu.

Ia antara amaran perjalanan yang dikeluarkan ke atas 225 buah negara oleh UK Foreign Office (FO).

Tinjauan Astro AWANI di laman terbabit mendapati amaran perjalanan dikeluarkan kepada rakyat UK yang ingin mengunjungi Malaysia pada 6 Oktober lalu dan telah dikemas kini hari ini.

Pejabat Luar dan Komanwel (FCO) menasihatkan agar rakyatnya mengelak daripada berkunjung ke kawasan pantai timur Sabah dari Kudat ke Tawau, termasuk Lankayan, Mabul, Pom Pom, Kapalai, Litigan, Sipadan dan Mataking.

"Pengganas kemungkinan besar akan cuba melakukan serangan di Malaysia. Serangan boleh berlaku di mana saja, termasuk di tempat yang dilawati oleh pelancong asing."

"Berhati-hati, pantau media tempatan dan ikuti nasihat pihak berkuasa tempatan," menurut amaran perjalanan itu.

Ia ekoran ancaman diterima terhadap risiko penculikan warga asing di pantai timur Sabah terutamanya pulau-pulau yang berdekatan dengan Kepulauan Sulu di selatan Filipina.

Kes penculikan terakhir berlaku pada Mei 2015, melibatkan dua rakyat Malaysia diculik di Sandakan, dengan salah seorang daripadanya terbunuh.

Berikut senarai penuh negara berisiko "kemungkinan berlaku serangan pengganas" yang dikeluarkan.

- Australia
- Belgium
- Perancis
- Jerman
- Indonesia
- India
- Kenya
- Malaysia
- Maldives
- Filipina
- Thailand
- Amerika Syarikat

Sumber: Astro Awani