ARAU – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata UMNO tiada masalah untuk menerima permohonan maaf Tun Dr. Mahathir Mohamad sepanjang beliau berkecimpung dalam politik.
“Alhamdulillah, Tun minta maaf.….jika Tun mengaku ada buat salah kita boleh terima tetapi bila dah tuduh dengan teruk kerajaan yang memerintah, tidak baiklah.. sebab kita semua bukan sempurna.
“Begitu juga bila nak tegur kita kena ingat kita pernah buat salah atau tidak…..saya harap kembalilah ke pangkal jalan dan bersama kerajaan supaya kita menjadi lebih kuat dan dapat menunaikan lebih banyak hasrat dan kebaikan untuk rakyat,” katanya.
Semasa berucap merasmikan mesyuarat agung pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Shah Alam semalam, Dr. Mahathir membuat permohonan maaf itu bagi segala kesalahan yang pernah dilakukannya.
Shahidan yang juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis dan anggota Majlis Tertinggi UMNO ditemui selepas menyampaikan keperluan sekolah program ‘Ceria Kembali Ke Sekolah Felcra Berhad’ di Pusat Khidmat anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tambun Tulang di sini, semalam.
Felcra menyumbangkan 500 beg kepada anak-anak golongan B40 dalam kawasan Parlimen Arau sebagai sebahagian program khidmat kemasyarakatannya pada majlis itu.
Sebelum itu, Pengurus Besar Felcra Wilayah Utara (Kedah dan Perlis), Wan Mokhtar Wan Muda berkata seramai 1,006 orang anak-anak golongan B40 termasuk anak-anak kakitangan agensi itu menerima bantuan berupa pakaian seragam sekolah, beg, alat tulis, kasut, stoking dan buku latihan.
Dalam perkembangan lain Shahidan berkata pembangkang yang mulai mendekati rakyat untuk memberi sumbangan dan bantuan sejak akhir-akhir ini sama sekali tidak menggugat Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.
“Biarlah…..itu hak mereka untuk masuk beri bola sepak raga sebiji, beras sekampit dan sedikit bantuan. Kalau depa (mereka) tak masuk macam mana kita nak lawan dan lihat siapa lebih kuat dalam membantu dan menjaga kebajikan rakyat,” tambahnya.
Mengenai Perlis, beliau berkata UMNO telah membuat persiapan jangka panjang dan bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang semakin hampir. – Bernama