Umrah Tipu: Enam Laporan Di Kedah


ALOR SETAR - Polis merekodkan sebanyak enam laporan dibuat bakal jemaah umrah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Chan Teck Paing, berkata laporan itu dibuat mangsa di KLIA dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan.

"Siasatan awal, anggaran kerugian dialami mangsa sebanyak RM7,000 setiap seorang dan buat masa ini, kita baru menerima enam laporan yang dibuat mangsa.

"Kita akan menyiasat terlebih dahulu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Setakat ini belum ada tangkapan dibuat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

BH kelmarin melaporkan Seramai 15 bakal jemaah umrah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dipercayai ditipu oleh sebuah agensi umrah.

Kesemua mereka tiba dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang selepas dimaklumkan akan berlepas ke tanah suci pada jam 7 malam menaiki pesawat Emirates Airlines.

Bagaimanapun, mereka tersedar sudah ditipu selepas mendapati nama mereka tiada dalam senarai penumpang penerbangan, ketiadaan mutawif dan wakil agensi tidak menjawab panggilan telefon.

Sumber: BH Online