Unisza IPT Pertama Pantai Timur Dompet Tanpa Tunai


KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melakar satu lagi transformasi apabila jadi kampus tanpa tunai pertama di pantai timur melancarkan aplikasi dompet elektronik.

Dikenali sebagai Boost, aplikasi e-dompet dibangunkan syarikat di bawah Axiata Digital eCode Sdn. Bhd. itu memudahkan warganya termasuk 12,000 pelajar di kampus Perubatan di sini selain Gong Badak dan Besut.

Ia menggunakan sistem e-dompet sebagai kaedah pembayaran tunggal untuk semua urus niaga pembelian dalam kampus, menurut Pengerusi Lembaga Pengarah universiti itu, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Boost akan menyediakan pelajar  dengan gaya hidup digital dan pengalaman menyeronokkan melalui pembelian yang lebih mudah, tambah nilai telefon, penghantaran dan pengeluaran wang serta pemberian hadiah digital.

Kata Kamarudin, pengguna dapat memanfaatkan e-dompet di mana-mana kedai dalam kampus Unisza yang mempunyai kod QR sekali gus mengurangkan kesulitan pembayaran secara tunai atau kad debit dan kad kredit.

“Matlamat UniSZA adalah untuk menjadi kampus tanpa tunai terunggul dan inovatif, bermula dengan mentransformasikan semua perkhidmatan di dalam kampus supaya lebih mudah diakses secara digital,” katanya.

Kamarudin menyatakan demikian dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2018 dan pelancaran secara rasmi UniSZA tanpa tunai di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, di sini pada Ahad.

Turut hadir sama ialah Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaifi Abdul Latif dan Ketua Tanggungjawab Korporat dan Perhubungan Kerajaan Celcom Axiata Berhad, Saiful Bahrin Abdul Ghaffar.

Menurut Kamarudin, kerjasama strategik bersama Celcom Axiata Berhad itu merupakan salah satu usaha UniSZA untuk memperkayakan pelajar dengan kemudahan dan bantuan dalam pembelajaran.

Katanya, selain kampus tanpa tunai, Unisza turut terpilih sebagai salah satu institusi pengajian tinggi disenaraikan dalam program Siswapreneur Celcom bagi latih dan membangunkan potensi pelajar dalam bidang keusahawanan.

Penuntut universiti terbabit yang dipilih turut menerima sumbangan foodcart untuk mengasah bakat dalam bidang perniagaan secara kecil-kecilan.- Kedahnews.com