Wajarkah Tindakan Guru Viral Kelakuan Murid Di Kelas?


MUNGKIN inilah kelakuan segelintir guru sekolah zaman sekarang yang gemar merakam kelakuan pelajar untuk dipertontonkan kepada orang ramai melalui laman sosial.

Baru-baru ini tular sebuah rakaman yang menyaksikan seorang guru yang dilihat seronok ‘membuli’ murid di dalam kelas kemudian bertindak menyebarkan videonya pula.

Menerusi rakaman video yang tersebar itu, guru berkenaan pada mulanya dilihat hanya menyakat murid berkenaan sehingga menangis sebelum menyuruhnya pulang ke rumah.

“Rindu? Haaa… Cakaplah rindu. Lepaih tu? Nak balik la? Nak peluk mama?” usik guru itu.

Murid itu kemudiannya dilihat sebak dan menangis ekoran tidak tahan diusik oleh guru berkenaan.

Video tersebut tular sekaligus mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-rata menganggap tindakan itu tidak wajar.

Bukan itu sahaja, malah ia juga mampu menimbulkan pelbagai kesan terhadap kehidupan seseorang murid termasuk gangguan emosi.

Seorang guru sepatutnya perlu bertindak sebagai pemberi galakan dan bimbingan kepada murid agar dapat belajar dengan rajin.

Bukannya, ‘membuli’ kemudian menularkannya pula untuk dijadikan bahan ketawa ramai. Bagaimana pula pendapat anda? – Kedahnews.com