Walaupun OKU Tapi Lelaki Dari Jitra Ini Boleh Buat Perabut Kayu


JITRA - Seorang lelaki yang hilang keupayaan tangan kanannya akibat kemalangan sembilan tahun lalu, tekad mengubah nasib keluarganya melalui perniagaan perabut yang baru diusahakannya sejak dua bulan lalu.

Haswandi Abu Hassan, 36, dari Kampung Tradisi Paya Pahlawan berkata, dia mula berjinak-jinak dalam bidang ini selepas berhenti mengembala kambing.

"Pada mulanya, saja suka-suka, saya ambik kayu terbuang daripada kandang kambing buat kerusi meja kat rumah saya ini.

"Kawan-kawan mai rumah boleh la duduk, sebelum ni depa mai duduk bersila depan pintu saja. Tapi lama-lama depa tanya duk buat lagi tak, depa nak beli.


"Jadi saya pun mula la cari kayu 'pallet pine' untuk buat set kerusi meja, kayu ni elok sikit," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Bapa kepada dua cahaya mata ini berkata, kekurangan yang dialami bukan satu halangan buatnya, baginya hidup harus diteruskan walau dalam apa jua keadaan.

"Walaupun saya buat semua kerja guna sebelah tangan, tapi saya rasa biasa saja. Kalau tengok orang lain,ada yang kudung dua-dua tangan tapi boleh melukis guna kaki,malah elok lagi dari kita.

"Permulaan kerja dalam bidang ini boleh dikatakan kawan-kawan yang banyak membantu terutama bagi pinjam barang-barang dan depa pun selalu bagi sokongan.

"Harapan saya tak lah menggunung tinggi, sebab rezeki kita Allah SWT yang tentukan. Cuma saya harap setiap perabut yang saya buat, mudah mudahan ada pembelinya,"katanya.

Seorang rakannya, Shukri Che Sulaiman, 33, berkata, memandangkan mereka mempunyai minat yang sama, dia sering membantu Haswandi dalam mengembangkan idea untuk memastikan hasil kerjanya lebih kemas.

"Nak tolong dari segi modal saya pun tak mampu, jadi tolong bagi idea, cari kayu macam tu saja.

"Harapan saya agar ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dari segi modal dan kelengkapan seperti mesin kepada Wandi untuk memperkembangkan perniagaannya," katanya.

Sumber: Sinar Harian