Wang Ihsan Mangsa Banjir Dalam Tempoh 2 Minggu


KUANTAN - Semua penduduk terjejas banjir akan menerima wang ihsan daripada kerajaan Pusat selewat-lewatnya dua minggu selepas bencana itu pulih sepenuhnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, urusan pengagihan wang ihsan boleh dilakukan sebaik sahaja pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerima laporan lengkap daripada Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri terbabit.

"Pengagihan wang ihsan ini adalah tertakluk kepada Arahan Majlis Keselamatan Negara 20 (MKN20) dan perlu mengikut saluran ditetapkan.

"Maknanya, senarai atau maklumat semua mangsa banjir perlu disiapkan di peringkat daerah terlebih dulu dan dikemukakan oleh pejabat kerajaan negeri kepada NADMA untuk pertimbangan (wang ihsan) dan jangan bimbang kerana kita akan berikan wang ihsan ini kepada semua mangsa (banjir) yang berdaftar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Gemilang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuantan, dekat sini, petang semalam.

Seramai 30 mangsa banjir dari Kampung Kurnia, Kampung Razali dan Kampung Belukar ditempatkan di PPS berkenaan.

Yang turut hadir Ketua Pengarah NADMA, Datuk Abd Rashid Harun, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Azmi Yahya dan Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat.

Shahidan turut menyatakan rasa puas hati dengan pengurusan PPS berkenaan dan meminta pihak yang diberi tanggung jawab menguruskan setiap PPS menjalankan tugas dengan baik.

"Kalau dari awal urusan pemindahan penduduk berjalan lancar, saya harap semua urusan di sini juga berjalan dengan baik, makanan untuk mereka dan barangan keperluan lain juga pastikan mencukupi.

"Saya berterima kasih kepada semua pegawai dan anggota APM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan UMNO Bahagian Kuantan juga yang banyak memudahkan urusan penduduk terjejas banjir di daerah ini," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita berkaitan keadaan banjir yang disebarkan oleh pihak tertentu dan mendapatkan maklumat tepat daripada pihak berkuasa.

Sumber: BH Online