SEORANG suri rumah koma selepas terjatuh motosikal akibat diragut dua beradik di Kampung Sri Rebana, Machang, 6.30 petang kelmarin.
Maria Erianty Zakaria, 40, dari Perumahan Sri Selising, Machang parah di kepala dan patah tangan kiri.
Dia kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Dua beradik yang meragutnya berusia 26 tahun dan 14 tahun turut ditahan sejurus kejadian.
Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, penduduk kampung yang menyaksikan kejadian mengejar suspek menyebabkan motosikal ditunggang suspek terbabit terbabas.
Katanya, kedua-dua suspek terbabit kemudiannya ditahan penduduk.
“Terdahulu, suspek yang menunggang motosikal SYM mengekori mangsa yang menunggang motosikal sendirian sejauh dua kilometer dari Kampung Sri Rebana menghala ke Kampung Wek.
“Tiba di lokasi, suspek, dengan seorang daripadanya berada di tingkatan dua, meragut beg tangan mangsa yang diletak dalam raga motosikal.
“Mangsa terjatuh dan beberapa penduduk kampung yang menyaksikan kejadian terus mengejar suspek dengan motosikal menyebabkan dua beradik itu terbabas sebelum cuba melarikan diri,” katanya ada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, semalam.
Bagaimanapun, suspek dapat ditahan selepas berlaku pergelutan.
Dzulkifli berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Machang untuk rawatan sebelum dirujuk ke HUSM.
“Kami sedang membuat permohonan reman ke atas suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
“Kami merampas SYM ditunggang suspek bagi membantu siasatan selain menemui semula beg tangan mangsa,” katanya.
Menurut beliau, hasil siasatan awal, suspek berusia 26 tahun memiliki rekod jenayah lampau berkaitan curi.
“Kedua-duanya juga positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Sumber: Metro