Wanita Tak Sedar Sedang Hamil, Tahu-Tahu Dah Nak Bersalin


KUASA Allah SWT, Suzana Sulaiman, 38, yang lima tahun tidak dikurniakan zuriat akhirnya melahirkan bayi perempuan, namun ia sesuatu yang amat tidak disangka-hanya tahu mengandung selepas sakit perut dan berlaku pendarahan.

Selama sembilan bulan, Suzana tidak tahu dia mengandung dan ia pastinya anugerah terindah buat Suzana dan suaminya, Nik Salleh Nik Ngah, 43.

Nik Salleh berkata, tanggal 19 Disember 2017 menjadi detik paling bermakna buat mereka.

“Pada 5 pagi, Suzana mengadu sakit perut dan berlaku pendarahan sebelum saya membawanya ke Hospital Pekan, Pahang untuk membuat pemeriksaan. Saya ingatkan hanya sakit biasa sebelum saya dimaklumkan oleh doktor, Suzana sebenarnya sakit nak bersalin.

"Terkejut, gembira... semuanya ada. Bayangkanlah kami sekeluarga termasuk isteri tidak sedar pun yang dia membawa nyawa si kecil dalam kandungan selama sembilan bulan.Ketika di hospital, doktor lakukan pemeriksaan dan buat imbasan, ternyata isteri sebenarnya mengandung dan sudah sampai masa untuk melahirkan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sejak berkahwin pada Jun 2012, dia dan isteri sentiasa menunggu dengan sabar dan bertawakal kepada Allah SWT supaya dikurniakan anak sebagai penyeri rumahtangga.

"Kami memang tidak pernah membuat apa-apa pemeriksaan kesihatan sebelum ini dan hanya menunggu dengan sabar.

"Kami sekeluarga tidak sedar yang isteri mengandung kerana badannya agak berisi dan kitaran haid tidak menentu," katanya.

Permata hati mereka dinamakan Nik Alisha Solehah, dilahirkan pada 9.32 pagi seberat 2.88 kilogram (kg) dan sihat, walaupun ibu tidak pernah membuat pemeriksaan kandungan sebelum ini.

Suzana yang melahirkan anaknya secara normal sedang berpantang di rumah keluarga di Kampung Padang Manggis, Pekan, Pahang.

"Kejutan ini juga adalah hadiah hari lahir buat isteri saya iaitu pada 31 Disember dan dia ada beritahu saya yang dia gembira kerana tiba-tiba sudah menjadi ibu.

"Dahulu kami berdua, sekarang sudah bertiga. Memang tiada sesiapa pun yang sedar isteri saya mengandung sehinggalah dia melahirkan Nik Alisha Solehah," katanya yang bekerja dengan Majlis Daerah Pekan.

Nik Salleh berkata, selepas isterinya selamat bersalin, doktor dan jururawat bertanya kepadanya mengenai pakaian bayi.

"Memang tak ada apa-apa. Terkejut. Tiada persediaan langsung sebab memang tak tahu. Jadi adik ipar saya terpaksa bergegas ke pasaraya untuk membeli pakaian bayi.

"Alhamdulillah syukur dengan anugerah terindah ini. Saya berharap agar anak saya membesar dengan sihat," katanya.

Kisah unik pasangan ini mula dikongsikan Penolong Pegawai Perubatan di Unit Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan, Muhammad Azrie Amirudin, 28, di Instagram miliknya pada 19 Disember lalu.

Muhammad Azrie ketika dihubungi berkata, kisah unik ini dianggapnya sebagai satu keajaiban.

"Pada waktu itu, pesakit (Suzana) datang kerana sakit perut dan ada pendarahan pada vagina. Perut besar sedikit tetapi tidak nampak seperti mengandung kerana badan agak berisi.

“Apabila membuat ujian air kencing di dapati dia mengandung dan kami tanya mengenai haid terakhirnya, pesakit kata dia tidak pasti kerana sejak remaja, kitaran haidnya tidak menentu.

"Kes ini kecemasan dan kemudian dirujuk kepada Pakar Ginekologi serta pesakit kemudian melahirkan anak secara normal dalam masa 10 minit saja," katanya.

Muhammad Azrie berkata, Suzana melahirkan bayinya cukup sembilan bulan dan kedua-duanya kemudian dipindahkan ke wad untuk pemantauan dan dibenarkan pulang pada 24 Disember lalu.

Sumber: MyMetro