Warga Asing Ditahan Cuba Bunuh Penyu


Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua awak-awak warga asing kerana disyaki terbabit dalam aktiviti menangkap dan membunuh penyu di Pulau Kerindingan, Semporna, 1.35 pagi hari ini.

Pengarah APMM Semporna, Leftenan Komander Maritim Amiludin Yenggah berkata, bertindak daripada maklumat risikan yang diperoleh, sepasukan APMM Semporan menggerakkan bot ronda bagi membanteras penangkapan dan pembunuhan penyu di kawasan pulau berkenaan.

"Hasil operasi itu, APMM menahan dua awak-awak yang tiada pengenalan diri dan pemeriksaan lanjut menemui empat potongan cengkerang penyu.

"Pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa peralatan memburu penyu di atas bot pam yang dinaiki suspek," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Amiludin berkata, penahanan kedua-dua suspek itu berjaya mengekang aktiviti penangkapan dan pembunuhan penyu di daerah ini.

"Aktiviti penangkapan dan pembunuhan penyu berlaku di daerah ini kerana dagingnya mendapat permintaan yang tinggi dari penggemar makanan eksotik dan aktiviti pembunuhan penyu ini menjadi perhatian umum sejak akhir-akhir ini.

"Kedua-dua suspek berusia 15 dan 35 tahun ditahan mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 dan Akta Imigresen 1959/63 untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, APMM sentiasa bersiap sedia mengekang sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di laut dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Pangkalan Maritim Semporna di talian 089-782619.

Sumber: Metro