DILAHIRKAN 26 Mei 1997, Julian Yee Zhi-Jie, 21, atau Julian mula mengenali sukan luncur ais seawal usia empat tahun.
Siapa sangka anak jati Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan awal di Sri Kuala Lumpur, kini atlit luncur ais pertama Malaysia mewakili negara ke Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang, Korea Selatan dari 9 hingga 25 Februari lalu.
Bersama Julian, Samsung melancarkan filem pendek bertajuk 'Julian dan Kasut Luncur Saktinya' yang memberi fokus kepada kesukaran dialami Julian untuk menyertai sukan luncur ais.
Mengimbas perjalanan kariernya, sukan luncur ais bagaikan sahabat karib yang tidak dapat dipisahkan dengan dirinya.
Ke mana pergi kasut roda sentiasa menjadi teman setianya hingga sering ditertawakan dan diejek rakan sebaya. Maklumlah, ketika itu sukan luncur ais belum menyerlah.
Tentu saja impian dan cita-cita Julian untuk menjadi peluncur ais profesional dianggap angan-angan kosong.
Ada ketika Julian berasa tertekan dan kecewa hingga impian besarnya itu hampir terkubur. Namun, sokongan padu dari keluarga terutama ibunya serta minat yang sangat mendalam, Julian kembali bersemangat.
Dia terus menjalani latihan hingga mencatat kejayaan pertama ketika berusia 13 tahun. Bermula dari itu, Julian meraih satu demi satu kejayaan hingga menang empat kali berturut-turut dari 2013.
Paling manis apabila menang pingat emas di Sukan Sea KL2017 dan kini, atlit luncur ais negara ini terus mengharumkan nama negara di peringkat Asia dan antarabangsa.
Namun sebelum mencapai kejayaan itu, banyak cabaran yang harus dilalui. Julian yang sering ditemani ibunya, Irene Cheow, juga mantan Naib Presiden 'Ice Skating Association' mengakui bukan mudah jalan yang dilaluinya.
Katanya, kerja keras dan disiplin adalah kunci utama. Dia perlu berlatih sekurang-kurangnya tiga jam sehari di gelanggang ais dan sejam untuk senaman, latihan kardio dan tarian.
"Keluarga adalah motivasi terbesar dan pendorong utama saya kerana sukan ini bukanlah popular di kalangan rakyat Malaysia. Keluarga terpaksa menanggung kos perbelanjaan sangat tinggi.
"Untuk mencapai taraf peluncur ais profesional, saya memerlukan peralatan meluncur lengkap dan menjalani latihan insentif di luar negara termasuk China, Korea Selatan dan Kanada kerana tiada jurulatih berpengalaman mahupun kemudahan sempurna di Malaysia," katanya.
Kejayaan dan kegigihan Julian ini memberi inspirasi kepada Samsung untuk menghasilkan filem ilustrasi pendek ''Julian dan Kasut Luncur Saktinya' yang memberi fokus kepada kesukaran dialami untuk menyertai sukan luncur ais.
Filem pendek itu dirakam dan diilustrasikan sepenuhnya menggunakan aplikasi di telefon pintar Samsung Galaxy Note 8 dan S Pen.
Ia juga simbolik mesej dari Samsung yang mahukan penggunanya memecahkan sempadan dalam usaha mencapai impian mereka menerusi kempen #DoWhatYouCant.
Bagi yang ingin menyaksikan filem pendek yang secara tidak langsung mengajar penonton erti kegigihan untuk mencapai kejayaan, ia boleh disaksikan di saluran YouTube Samsung Malaysia.
Penceritaan animasi yang santai dan penuh dengan nilai murni itu nyata memberi inspirasi kepada penonton dan kini ia ditonton oleh 1 juta pelayar laman sosial itu.
Sumber: BH Online