26 Mati Di Sabah Angkara Bakakuk


KOTA KINABALU – Sebanyak 193 laras senapang patah buatan sendiri atau bakakuk, dirampas menerusi 146 kes berkaitan penggunaan dan pemilikan senjata api terbabit di Sabah sejak 2013 hingga kini.

Sepanjang tempoh sama, 238 individu ditahan untuk siasatan lanjut dan pendakwaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata daripada jumlah itu, 95 ditahan bersama rampasan 71 laras bakakuk dalam 54 kes di seluruh negeri sepanjang tahun lalu, berbanding 40 ditahan dengan 35 bakakuk dalam 25 kes pada tahun sebelumnya.

“Ini (statistik 2017) angka tertinggi dalam tempoh lima tahun hasil tindakan agresif Polis Sabah menjejaki dan mencari orang yang memiliki bakakuk di seluruh negeri,” katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Ramli berkata, setakat ini 117 orang didakwa berhubung kes bakakuk dalam tempoh lima tahun lalu dengan 107 tertuduh sudah dijatuhkan hukuman, manakala bakinya masih dalam perbicaraan.

Katanya, sejak tahun 2013 hingga tahun lalu, sebanyak 26 kematian dilaporkan termasuk lima kes pada tahun lalu disebabkan penggunaan senjata api itu, kebanyakannya berkaitan kes tertembak rakan ketika memburu, selain tertembak diri sendiri.

“Dalam satu kes di Kinabatangan (tahun lalu), seorang pemilik bakakuk tertembak diri sendiri ketika menunggang motosikal sambil membawa senjata api itu. Dia dipercayai hilang kawalan sebelum tertekan picu lalu meletup dan pelurunya terkena dirinya sendiri,” katanya.

Ramli berkata, pemilikan bakakuk adalah kesalahan yang disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, katanya, ia juga disiasat boleh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika menyebabkan kematian dan Seksyen 304 (a) kanun sama kerana menyebabkan kematian secara tidak sengaja.

Dalam hal berkaitan, beliau berkata, polis turut membantu Jabatan Hidupan Liar Sabah dalam menangani kes pemburuan haram membabitkan hidupan liar dilindungi seperti gajah yang disyaki dibunuh menggunakan bakakuk.

“Setakat ini ada tiga kes (pemburuan haram) dilaporkan. Pertama membabitkan seekor gajah jantan di Lahad Datu pada tahun 2016 yang mana siasatan menemui satu kelongsong peluru berhampiran bangkai gajah itu dan kita percaya ia dibunuh untuk diambil gadingnya.

“Kes kedua pula berlaku di Kinabatangan pada Ogos lalu, yang mana seekor gajah betina dipercayai ditembak pemburu haram. Ada sembilan kesan tembakan di badan dan kepala dengan empat kelongsong peluru ditemui,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi kes pemburuan haram menggunakan bakakuk masih disiasat ialah penemuan bangkai seekor gajah dengan tiga kesan tembakan termasuk dua mengenai jantung di sebuah ladang Kalabakan, Tawau pada 15 November lalu. 

Sumber – BH