3 Jabatan Bawah KDN Di Kedah Ikrar Bebas Rasuah


ALOR SETAR – Tiga jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menandatangani dan melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi menyahut seruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) menolak amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam.

Ia membabitkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Kedah, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-quran Kedah/ Perlis dan Bahagian Kawalan Penapisan Filem Dan Penguatkuasaan Kedah.

Timbalan Pengarah SPRM Kedah Mustafa Kamal Ahmad berkata inisiatif itu menunjukkan komitmen dan keikhlasan jabatan berkenaan untuk berkhidmat kepada rakyat dengan penuh amanah dan berintegriti.

“Lafaz yang diberikan ini juga membuktikan bahawa usaha membanteras dan memerangi rasuah ini bukanlah hak eksklusif SPRM, sebaliknya perlu dipikul oleh seluruh rakyat khususnya kakitangan agensi kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustafa Kamal berkata menerusi inisiatif IBR itu diharapkan jabatan berkenaan terus diberikan kepercayaan oleh rakyat dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Beliau berkata SPRM negeri ini juga melaksanakan Gerakan Revolusi Anti-Rasuah (GERAH) dengan anggotanya turun padang mendekati masyarakat bagi menunjukkan keberadaan anggota SPRM dalam kalangan masyarakat setempat.

“Kami juga melancarkan kempen Gerakan Memerangi Pemberi Rasuah (GEMPUR) bertujuan meningkatkan integriti penjawat awam supaya menolak amalan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya. – BERNAMA