36 Anggota Geng 04 Di Hadapi Pendakwaan


IPOH - Semua 36 anggota kumpulan kongsi gelap Geng 04 yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah terancang dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini, untuk pendakwaan pagi ini.

Mereka dibawa dengan tiga Black Maria dan dua trak dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak kira-kira jam 8.50 pagi, diiringi beberapa kenderaan polis dan dikawal ketat oleh anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC), tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 9 pagi.

Difahamkan lebih 100 pegawai dan anggota polis terbabit dalam tugas membawa kesemua suspek.

Sebelum itu, 36 anggota Geng 04 dibawa keluar secara berperingkat dari IPK untuk menaiki kenderaan polis bermula jam 8.05 pagi dengan anggota dan pegawai polis serta petugas media mula berkumpul seawal jam 7.15 pagi.

Bagi melancarkan pergerakan, polis menutup sementara laluan membabitkan Jalan Sultan Iskandar berhadapan IPK menghala ke Kompleks Mahkamah Sesyen di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, bermula jam 8 pagi sehingga pergerakan membawa semua tertuduh selesai.


Semua tertuduh terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah terancang termasuk pembunuhan seorang isteri ahli perniagaan bergelar Datin Seri kira-kira dua tahun lalu, dilumpuhkan menerusi operasi khas polis akhir bulan lalu.

Menerusi Ops Cantas Silver bermula jam 12 tengah malam, 27 Januari lalu, seramai 36 pemimpin kumpulan itu berusia antara 20 hingga 60 tahun, diberkas.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, dalam sidang media semalam, berkata seramai 26 orang ditahan sekitar Perak, Selangor, Melaka dan Johor, manakala 10 orang lagi berada dalam penjara di Pokok Sena, Kedah; Sungai Udang, Melaka serta Batu Gajah dan Taiping.

Katanya, polis turut merampas pelbagai barangan seperti wang tunai, barang kemas, hartanah dan kenderaan bernilai lebih RM4.54 juta, dipercayai milik anggota kumpulan itu.

Semua mereka yang ditahan itu direman selama 28 hari bermula 27 Januari lalu dan sepatutnya berakhir pada 24 Februari ini mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Sementara itu, perkarangan Kompleks Mahkamah sesak dengan kehadiran orang awam dan anggota keluarga tertuduh.

Bagaimanapun, ia dikawal ketat oleh pasukan keselamatan dengan hanya petugas keselamatan, media dan kakitangan mahkamah sahaja dibenarkan masuk, manakala orang awam hanya dibenarkan melakukan urusan selepas jam 11 pagi.

Semua tertuduh akan didakwa mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Mengikut seksyen berkenaan, semua suspek tidak boleh dijamin dan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sumber: BH Online