45 Tahun ‘Mat Salleh’ Kumpul Setem Malaysia


KUALA LUMPUR – Mula mengenali setem Malaysia ketika bekerja sebagai kerani di sebuah pejabat pos di London, mendorong seorang warga emas berusia 73 tahun dari England berminat untuk terus mengumpul setem dari negara ini.

Mike Kingsland yang mula mengumpul setem itu sejak tahun 1973 wajib ‘terbang’ ke Malaysia sekali setahun demi mendapatkan setem kegemarannya.

Katanya, koleksi setem dari negara ini yang paling digemarinya kebanyakannya adalah ilustrasi kereta api seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan kereta api di Sabah dan Sarawak.

“Kebanyakan setem keluaran negara ini memaparkan kecantikan Malaysia dan memandangkan saya amat menggemari negara ini, saya tidak akan melepaskan peluang untuk mengumpul siri setem yang ada.

“Tambahan pula, setem yang dikeluarkan juga mempunyai banyak kepelbagaian seperti menceritakan sejarah negara ini dan topik-topik istimewa yang dipilih,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran siri setem terbaharu iaitu Sungai Terpanjang Malaysia di Ibu Pejabat Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) di sini hari ini.

Kingsland yang mula melancong ke Malaysia sejak 1998 itu mempunyai lebih 20 album setem keluaran negara ini yang dikumpul sejak 45 tahun lalu.

Dalam pada itu, seorang lagi peminat dan pengumpul setem , Young Yew Meng, 84, sanggup menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) dan bas ke Ibu Pejabat Pos Malaysia bagi mendapatkan maklumat mengenai siri setem terbaharu.

Dia yang menetap di Jalan Chan Sow Lin berkata, setiap hari dia akan ke pejabat tersebut sama ada untuk membeli atau mendapatkan maklumat siri setem terbaharu kerana tidak mempunyai sebarang alat komunikasi seperti telefon pintar dan kemudahan internet.

“Saya mula mengumpul setem sejak berusia 18 tahun dan telah mempunyai lebih empat kotak album setem.

“Selalunya, jika saya tidak mempunyai wang atau tidak mempunyai kesempatan untuk membeli setem, rakan-rakan yang akan membantu membelinya,” katanya.

Sumber: Utusan Online