48,811 Pelajar Universiti Ijazah Pertama Dapat Biasiswa PTPTN RM1.47 Bilion


JELI – Seramai 48,811 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) mendapat biasiswa berjumlah RM1.47 bilion daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) setelah memperoleh ijazah kelas pertama dalam pengajian masing-masing.

Pengurus Besar Kanan PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop berkata jumlah berkenaan membabitkan penuntut yang membuat pinjaman PTPTN sejak 1997 hingga 31 Dis lepas.

“PTPTN menukar pinjaman RM1.47 bilion kepada biasiswa bagi menghargai kesungguhan penuntut sehingga mampu memperoleh ijazah kelas pertama dalam pengajian masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Cabutan Wow! 20 Tahun PTPTN Bulan November 2017 di Sekolah Kebangsaan Batu Melintang di sini,kelmarin.

Majlis berkenaan disempurnakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid.

Abdul Ghaffar berkata di Kelantan sahaja, terdapat 2,445 pelajar berjaya mendapat biasiswa PTPTN yang membabitkan pinjaman RM60.52 juta. – Bernama