520 Pelajar Sekolah Dalam DUN Alor Mengkudu Terima Sumbangan Basikal


ALOR SETAR - Seramai 520 pelajar sekolah rendah daripada 16 buah sekolah rendah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri  Alor Mengkudu dalam Parlimen Alor Setar menerima sumbangan basikal.

Basikal yang berharga lebih  RM200 setiap satu diserahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada majlis perasmian serentak Program Lestari Sekolah Menengah Simpang Kuala dan  program bantuan kepada masyarakat Cina yang akan menyambut Tahun Baharu Cina.

Menurut Ahmad Bashah, bantuan basikal itu disumbangkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelajar yang menerimanya dipilih oleh pihak sekolah masing-masing.

"Jadi untuk mengatakan sumbangan itu adalah kerana pilihan raya umum hampir tiba adalah tidak benar, kerana pihak UMNOi dan JKKK tidak menentukan siapa yang layak menerimanya.

Lagi pun bantuan seumpama ini diberikan setiap tahun dan bukan semasa pilihanraya sahaja,  " kata Ahmad Bashah pada sidang media selepas program tersebut hari ini.


Menurutnya sebanyak 1,500 basikal diberikan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga kurang kemampuan di seluruh Parlimen Alor Setar.

Sementara itu turut menerima bantuan Tahun Baru Cina hari ini ialah seramai 46 keluarga Cina termasuk wargaemas. 

Dalam pada itu Sekolah Menengah Simpang Kuala dipilih mewakili negeri Kedah ke peringkat kebangsaan dalam program Lestari Sekolah. 

Sebelum itu Ahmad Bashah melepaskan program Kayuhan Guru Muda di Sekolah Kebangsaan Wan Mohamad Saman di Tandop dekat sini.- Kedahnews.com