6 Hari Operasi, Lebih 10,000 Saman Dikeluarkan


KUALA LUMPUR: Hanya enam hari menjalankan Op Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 10,214 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

Paling mengejutkan, sejumlah 4,010 saman adalah kesalahan tidak memiliki lesen penuh atau CDL.

Sebanyak 2,434 saman dikeluarkan kerana kesalahan tamat tempoh lesen manakala 2,357 pula tiada cukai jalan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid berkata operasi khas sejak 14 Feb itu ditumpukan kepada pemeriksaan motosikal bagi mengesan penunggang yang masih ingkar tidak memiliki lesen dan cukai jalan.

Operasi ini juga dilakukan untuk mendidik pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

"Untuk seseorang penunggang tidak mempunyai lesen atau cukai jalan, ia bermakna pendidikan terhadap kepentingan undang-undang kepada penunggang itu kurang.

"Ini juga merupakan satu ketirisan hasil kerajaan. Kerajaan sepatutnya mendapat hasil daripada cukai-cukai motosikal ini," katanya semasa ditemui dalam satu operasi di Jalan Bangsar malam tadi.

Dalam operasi itu, sejumlah 420 saman direkodkan atas 195 buah kenderaan.

Operasi yang bermula jam 7 malam sehingga 12 tengah malam itu turut memeriksa lebih 1,000 kenderaan.
Daripada jumlah itu, 290 kesalahan adalah tidak memiliki lesen memandu dan menunggang serta tiada cukai jalan.

Lima buah motosikal juga disita. Turut ditangkap tiga individu yang didapati positif dadah.

Operasi tersebut disertai 92 pegawai dan anggota penguatkuasa JPJ, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar.

Sumber: Astro Awani