70 Penagih Dadah Akan Jalani Pemulihan Di Indonesia


ALOR SETAR - Anggota Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memaklumkan seramai 70 penagih dadah di daerah Baling bakal menjadi kumpulan pertama dihantar ke pesantren atau sekolah pondok di Indonesia.

Ini bertujuan bagi menjalani rawatan pemulihan, malah daerah Baling dicatatkan sebagai daerah kedua tertinggi bagi masalah penagihan dadah di negeri Kedah, iaitu melibatkan kira-kira 1,300 penagih yang berdaftar dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Jumlah penagih di Baling lebih 2,000 orang... setakat ini seramai 60 penagih dadah tampil menawarkan diri untuk mengikuti program terbabit dan kita sasarkan seramai 70 penagih dadah dapat menyertai kumpulan pertama ini.

"Kita telah mengenal pasti beberapa pusat pesantren atau sekolah pondok antaranya di Medan, Bandung, Madura, Surabaya, Lombok dan Puncak di Indonesia, mereka akan dihantar menjalani pemulihan selama 15 bulan di sana," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Wang Ihsan Bencana Banjir Daerah Baling 2017 di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak dekat Baling, kelmarin.

Ujar Azeez, dengan menghantar golongan penagih tersebut ke sana, diharapkan kumpulan yang menjalani rawatan pemulihan itu apabila pulang kelak akan dapat menjadi bilal, siak atau imam di masjid atau surau di kariah masing-masing.

"Setelah pelbagai kajian dibuat, didapati 65 peratus penagih adalah berstatus suami...kita nak bantu pulihkan mereka, bukan nak tangkap mereka.

"Saya berharap agar pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi dan atasan, dapat memberikan sokongan dan kerjasama terhadap projek perintis ini, agar sasaran sifar dadah di Baling tahun ini akan tercapai," katanya.

Terdahulu, Abdul Azeez menyampaikan bantuan wang ihsan kepada 913 mangsa yang terjejas banjir dan puting beliung di daerah Baling, antara Julai hingga Disember tahun lepas, yang mana masing-masing menerima RM500.

Abdul Azeez berkata, bantuan itu merupakan bukti keprihatinan kerajaan pusat terhadap penduduk di kawasan luar bandar, khususnya yang terjejas akibat banjir dan puting beliung.

"Kawasan Baling menjadi laluan angin dan juga sering dilanda banjir, selain bantuan yang diberikan jabatan dan agensi, hari ini mereka turut menerima bantuan di bawah Jabatan Perdana Menteri," katanya. - Kedahnews.com