70 Sekolah Rendah Kedah Dipilih Sebagai Pusat Pembangunan Bakat Badminton


ALOR SETAR – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebanyak 70 buah sekolah rendah di seluruh negara Kedah akan dipilih sebagai Pusat Pembangunan Bakat Badminton.

Perkara tersebut adalah satu usaha bagi membantu meningkatkan mutu sukan badminton negara,

Menurutnya, kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) demi mempromosikan dasar 1Murid 1Sukan.

“Program jangka masa lima tahun itu akan melibatkan 140 jurulatih dan 2,800 peserta yang berumur sembilan hingga 11 tahun. Setiap pusat akan menempatkan dua jurulatih yang akan melatih 40 peserta dan latihan dijangka bermula Mac ini.

“Peserta yang terlibat akan dilatih sebagai persediaan untuk menyertai pertandingan peringkat daerah dan negeri pada Ogos dan September depan. Ini juga memberi peluang kepada atlet muda untuk bertanding dan menambah kecemerlangan dalam sukan badminton supaya aktif bertanding di peringkat sekolah, daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.


Terdahulu, beliau merasmikan Pelancaran Program Pembangunan Bakat Badminton KPM-Perodua yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Perodua Datuk Dr Aminar Rashid Salleh dan Pengarah Pendidikan Kedah Datuk Azuyah Hassan.

Jelas Mahdzir, pihak KPM akan memain peranan sebagai pemantauan, penyelarasan, pelaksanaan dan penilaian dalam program sementara Perodua akan menanggung semua kos program termasuk pembangunan modul, peralatan sukan, elaun kepada jurulatih serta kejohanan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

“Setiap tahun RM1.2 juta hingga RM1.5 juta akan diperuntukkan untuk pembangunan program dan pihak Perodua juga turut meminjamkan dua unit kereta jenis Alza bagi tujuan permantauan program badminton itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata hasil kajian rambang KPM berhubung isu beg sekolah berat yang terpaksa dibawa murid mendapati murid di sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina membawa beg paling berat diikuti dengan sekolah kebangsaan dan SJK Tamil.

“Purata berat beg pelajar sekolah ini 7.3 kilogram dengan buku latihan, buku teks dan alat kelengkapan lain lagi. Kita telah beri garis panduan sebelum ini supaya tidak membebankan pelajar-pelajar ini untuk membawa beg yang berat.

“Apabila pembelajaran secara interaktif diterapkan nanti ia dapat mengurangkan bebanan beg sekolah pelajar. Memang pembelajaran interaktif ini telah dijalankan tetapi bukan secara menyeluruh lagi jadi kita akan cuba percepatkan dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini,” katanya. -Kedahnews.com