PORT DICKSON - Siasatan polis mendapati abang kandung mangsa dera berusia sembilan tahun yang meninggal dunia, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, dipercayai turut menjadi sasaran kekejaman bapa mereka.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad, berkata suspek membuat pengakuan mendera anak lelakinya yang berusia 11 tahun itu, namun tidak seteruk dilakukan terhadap Allahyarham Nur Aina Nabihah.
"Hasil siasatan polis, suspek mengaku turut memukul kanak-kanak lelaki itu yang tinggal bersamanya," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini, semalam.
Nur Aina Nabihah meninggal dunia 31 Januari lalu, dipercayai akibat didera bapa kandung dan ibu tirinya, sebelum keputusan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan pada buah pinggang, selain usus terkoyak serta patah tulang rusuk.
Berikutan itu, pasangan suami isteri masing-masing berusia 35 dan 34 tahun itu ditahan reman tujuh hari sehingga hari ini, untuk membantu siasatan polis.
Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini, hari ini, membenarkan reman pasangan itu dilanjutkan tujuh hari lagi, bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.
Majistret Siti Khariah Abdul Razak, membenarkan permohonan itu yang dibuat oleh pembantu pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Firdaus Abd Razak.
Sumber: BH Online