HEBAT… Leftenan Maritim Aida Arzahari baru-baru ini mencatat sejarah sebagai wanita pertama negara dilantik sebagai pegawai memerintah kapal sekali gus meneruskan legasi arwah bapanya.
Gadis berusia 35 tahun itu malaan menjadi tumpuan pihak media pada Khamis setelah melakar rekod tersendiri dilantik sebagai Pegawai Memerintah untuk Kapal Maritim (KM) Nyalau yang berpangkalan di Lumut, Perak
Pelantikan itu diumumkan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ke-13 dan Perbarisan Tamat Latihan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), di Kuantan, Pahang.
Anak sulung daripada tiga beradik ini bagaimanapun mendedikasikan usaha kejayaan luar biasa itu kepada ibunya, Hamiah Zain yang kini berumur 57 tahun dan turut hadir pada majlis pelantikan dirinya berkenaan.
“Ayah saya anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan memang saya amat rapat dengan arwah. Sebagai anak sulung, ibu mahu saya ikut jejak langkah ayah. Saya memang simpan impian bergelar pegawai memerintah.
“Namun saya tidak pula menyangka ia secepat ini,” kata Aida ketika ditemui media selepas tamat majlis berkenaan. Uniknya beliau sebelum itu pernah bekerja dalam bidang kewangan di sebuah syarikat pembinaan kapal.
Kejayaan tersebut juga banyak didorong oleh ibunya yang tanpa jemu memujuk untuk menyertai APMM, meskipun beliau hanya memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Ibu adalah individu yang mencabar saya untuk menyertai APMM dan mahu saya melakukan yang terbaik. Saya juga mahu menyatakan penghargaan kepada lima pegawai atasan yang mempercayai kebolehan saya.
“Merka sering beri semangat untuk terus berjaya,” kata anak kelahiran Perlis ini sambil menambah, pesanan arwah bapa mahu beliau menjaga keluarga dan menjadi antara terbaik sebagai azimat buatnya setiap kali berasa putus asa.
Aida hanya menyertai APMM pada 23 April 2012 sebagai pegawai pelatih dan pernah berkhidmat di Kota Kinabalu, Sabah. Bapanya pula sudah lama meninggal dunia akibat menghidap penyakit jantung pada 2007 lalu.
“Saya berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada wanita lain untuk menonjol dan mencapai kejayaan walaupun berada dalam bidang dimonopoli lelaki. Tunjukkan wanita juga berkebolehan jaga keamanan negara,” katanya.
Sementara itu, Hamiah berkata, Aida banyak mewarisi keperibadian suaminya iaitu tegas, bertanggungjawab dan memastikan setiap tugas dilaksanakan baik. Justeru, beliau melihat Aida paling sesuai ikut jejak langkah suaminya.
“Dua lagi anak saya berusia 17 tahun dan 22 tahun. Saya beritahu pada Aida, ikutlah jejak ayah. Meskipun sebelum ini Aida ada menyatakan hasrat ceburi bidang perniagaan, namun saya dapat rasanya itu bukan ‘jiwanya’,” katanya.
Majlis itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan disaksikan oleh Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar. – Agensi