Aizat Tak Terkilan Lagu Tidak Ke AJL32


KETIADAAN lagunya bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) dianggap perkara biasa bagi penyanyi dan penggubah lagu, Aizat Amdan.

Aizat atau nama sebenarnya Muhd. Aizat Amdan, mengakui peminatnya mengharapkan lagu nyanyiannya, Jangan Menangis turut bertanding di pentas akhir AJL32 namun tidak menyimpan rasa kecewa.

Bagi Aizat, dia sudah melalui zaman dimana setiap lagunya menjadi siulan ramai serta dipertandingkan di anugerah tersebut dan bersetuju pentas tersebut disertai penyanyi baharu.

“Apa yang kita lihat di pentas AJL32 itu adalah perkara biasa. Industri muzik memang perlukan pelapis muda untuk terus mewarnai dunia seni.

“Saya tahu memang ada beberapa individu yang mengharapkan lagu saya iaitu Jangan Menangis tersenarai calon akhir tetapi saya tidak kecewa pun,” katanya.

Aizat turut bertanding pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 32 bersama 29 lagu lain pada November lalu namun tidak dipilih untuk beraksi di pentas berprestij AJL32.

Menurut Aizat, lagu ciptaannya bersama Faizal Tahir, Mike Chan itu sudah cukup istimewa buat mereka apabila diilhamkan sewaktu menyertai ekspedisi 1Moment4Them bagi membantu rakyat Syria pada 2013.


Biarpun tidak turut bertanding pada AJL32 tempoh hari, Aizat berasa terharu dan berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk mengadili kesemua lagu yang bertanding pada malam tersebut.

Aizat dipilih menjadi salah seorang daripada 10 juri yang dibarisi nama-nama besar dalam industri muzik negara yang diketuai komposer terkenal, Azmeer.

“Saya gembira kerana dapat duduk bersama-sama otai dalam industri seperti Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Wah Idris, Datuk Ramli Sarip dan Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah).

“Saya dipilih sebagai wakil orang muda. Memang rasa gementar apabila bersama-sama dengan orang hebat dalam industri,” katanya memetik Harian Metro Online.

Aizat turut berterima kasih kepada pihak produksi kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menggalas tugas berat melalui satu perkongsian di laman sosial Instagram miliknya.

“Ia merupakan satu pengalaman dan penghormatan untuk bekerja bersama juri-juri nama besar di AJL32 semalam. Takkan saya lupakan seumur hidup.

“Terima kasih @tv3malaysia kerana memberi kepercayaan kepada saya yg masih perlu banyak belajar,” tulisnya disertai sekeping gambarnya berada di kerusi juri AJL32.

Pada tahun 2009, Aizat pernah menjuarai pertandingan tersebut melalui lagu ciptaan Pete Teo dan Amran Omar berjudul Pergi selain turut pernah memenangi kategori Persembahan Terbaik di AJL menerusi lagu Kau Aku.

‘Di laman Instagramnya juga, Aizat turut berkongsi bahawa lagu barunya berjudul Sampai Ke Hari Tua akan dilancarkan beberapa hari saja lagi. - Kedahnews.com