Ajal Pelajar Politeknik Kulim Langgar Pembahagi Jalan


ALOR SETAR - Malang tidak berbau... Itulah nasib malang yang menimpa seorang pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah di Kulim yang maut apabila motosikal ditunggangi terbabas ke arah pembahagi jalan, petang semalam.

Mangsa, Mohamad Akmal Firdaus Rohaizar, 19, ketika kejadian dia menunggang motosikal bersama-sama rakannya kira-kira jam 6 petang.

Kedua-dua mereka dipercayai keluar dari jalan Kulim Hi-Tech 8 sebelum mangsa terbabas melanggar pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar ketika ditemui mengesahkan kejadian tersebut.

Hasil daripada siasatan awal mendapati mangsa ketika kejadian sedang menunggang motosikal dari arah Jalan Hi-Tech 8 ke Lebuh Perdana manakala sebuah kereta dalam perjalanan dari arah Kilang Infinion menuju ke Jalan Titi Karangan, Baling.

“Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa terbabas melanggar pembahagi jalan dan termasuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah kereta.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat dan kes disiasat bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Kedahnews.com