WANITA warga Indonesia cedera dengan kesan lebam pada kepala dan muka selain luka pada tangan serta kedua-dua kaki akibat didera majikannya di Bukit Mertajam.
Nasib wanita itu diketahui seorang wartawan sebelum berjaya diselamatkan 7.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, sebelum kejadian, wartawan berkenaan menerima maklumat ada seorang wanita warga asing didera dua beradik yang juga majikannya berusia 36 dan 39 tahun.
Beliau berkata, sebaik menerima maklumat itu, dia bertindak menghubungi pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Por Cheng Han sebelum Por pergi ke lokasi kejadian.
"Sebaik sampai di situ, dia terlihat seorang wanita Indonesia sedang duduk di dalam kawasan pagar luar rumah.
"Dia cuba untuk berkomunikasi dengan mangsa, namun wanita itu hanya menganggukkan kepala sahaja," katanya.
Por berjumpa dengan pemilik rumah, yang juga seorang wanita berusia 60 sebelum diberitahu supaya tidak masuk campur urusan pembantu rumahnya.
Nik Ros Azhan berkata, tidak lama selepas itu, anak perempuan yang juga majikan mangsa pulang ke rumah dan membawa pembantu rumahnya keluar.
Katanya, sebaik Por memaklumkan bahawa satu laporan polis akan dibuat berhubung kejadian, kedua-dua suspek kemudian bertindak membawa mangsa ke IPDSPT.
Beliau berkata, dua beradik berkenaan ditahan untuk siasatan dan direman hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.
Sumber: Metro