Amah Maut: Keluarga Tuntut Pampasan 3 Tahun Gaji


KUALA LUMPUR - Keluarga Adelina Lisao, 26, pembantu rumah warga Indonesia yang meninggal dunia dipercayai didera majikannya, meminta bayaran pampasan tiga tahun gaji akibat kematian wanita itu.

Menurut laporan The Jakarta Post semalam, keluarganya yang tinggal di Kampung Ebi, Oenino, Kabupaten Timor Tengah, percaya yang Adelina yang bekerja di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, tidak pernah menerima gaji walaupun sudah bekerja sejak 2015.

Ibu saudaranya, Petronela Koa, berkata gaji Adelina tidak patut ditahan walaupun dia tidak berdaftar.

"Jumlah wang tidak penting, tetapi ia masih hak mangsa untuk dibayar," katanya kepada The Jakarta Post ketika menunggu mayat Adelina tiba di Lapangan Terbang El Tari, Kupang, Nusa Tenggara Timur, kelmarin.

Keluarganya turut melaporkan, dua individu yang didakwa merekrut dan menghantar Adelina bekerja secara haram di Malaysia sudah ditahan polis tempatan kerana memalsukan dokumen wanita itu.

Adelina dikatakan berusia 17 tahun ketika dihantar ke luar negara dan dokumen palsu menunjukkan dia berusia enam tahun lebih tua dari usia sebenarnya.

Menurut laporan itu, urusan pengebumian Adelina dilakukan semalam.

Sumber: BH Online