BESUT - Meskipun dinasihatkan keluarganya agar melupakan hasrat mendalami bidang perakaunan, Wan Nur Mafudah Wan Yusof, 21, berjaya membuktikan minatnya dalam bidang itu mampu membawa kejayaan kepadanya.
Anak jati Kampung Tok Raja, Jertih yang memiliki kelulusan daripada Kolej Intec, Kuala Lumpur itu mendapat tempat pertama dalam World Prize Winner bagi kertas Laporan Kewangan Korporat Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) yang diumumkan baru-baru ini.
Kejayaan itu menobatkan beliau anak Melayu pertama yang berjaya mendapat tempat teratas di peringkat dunia dengan memperoleh markah tertinggi iaitu 95 peratus.
Sebelum ini, kejayaan tertinggi yang pernah dicapai oleh beberapa anak Melayu ialah tempat kedua, ketiga dan keenam bagi tempoh 2015 hingga tahun lepas.
Ketika ditemui Bernama di rumah keluarganya di Kampung Tok Raja pada Ahad, anak ketiga daripada tujuh beradik itu melahirkan rasa syukur kerana bukan sahaja dapat membuktikan anak Melayu boleh menguasai bidang tersebut malah kepada keluarganya yang sebelum ini tidak yakin dengan kemampuannya.
Katanya, minat dalam bidang itu dipupuk di sekolah menerusi subjek kegemarannya iaitu perakaunan, ekonomi dan matematik di samping ingin menyahut cabaran kerajaan yang mahu lebih ramai anak Melayu menceburi bidang tersebut kerana bilangan mereka masih kurang.
"Setelah tamat belajar peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dengan keputusan 8A1B di MRSM Besut , saya memasuki Kolej Poly-Tech Mara Kuala Lumpur bagi mengikuti asas bidang perakaunan selama setahun setengah," katanya.
Menurutnya, minat dalam bidang itu bertambah semasa di kolej itu dan berjaya memperoleh biasiswa Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk menyambung pengajian di Kolej Intec.
"Di sinilah saya banyak belajar tentang bidang perakaunan dengan sentiasa mengikuti perkembangan semasa dalam bidang tersebut dari semasa ke semasa sebelum terpilih untuk menyertai F7 Financial Reporting ACCA bagi graduan dari seluruh dunia," katanya.
Ditanya tentang rahsia kejayaannya, Wan Nur Mafudah memberitahu beliau belajar dengan mengajar balik apa yang diketahui dan difahaminya kepada orang lain.
Beliau yang bercita-cita menjadi pensyarah bidang perakaunan mencadangkan agar subjek perakaunan, perdagangan dan ekonomi serta bahasa Inggeris ditekankan secara serius kepada pelajar di peringkat awal menengah kerana ia asas seseorang untuk menguasai pengajian perakaunan.
"Selain itu pelajar perlu juga diberikan asas dalam mata pelajaran teknologi maklumat dan matematik di samping perlu menguasai sekurang-kurang tiga bahasa selain bahasa Inggeris yang begitu penting untuk berkomunikasi sekiranya menceburi bidang perakaunan," katanya. - Bernama