Andik Sah Bersama Helang Merah


ALOR SETAR - Pemain sayap lincah sensasi Indonesia, Andik Vermansyah sah bergelar pemain import Kedah selepas menandatangani kontrak selama setahun dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) hari ini.

Bekas pemain Selangor dari 2013 hingga 2017 itu melengkapkan kuota pemain import kelima yang juga kuota pemain ASEAN untuk Kedah, bagi saingan musim 2018.

Andik mencipta nama di kelab Persebaya Surabaya dari 2008 hingga 2013 sebelum mendapat tawaran Selangor. Dia beraksi dengan pasukan kebangsaan Indonesia sejak 2011.

Pengesahan penyertaan Andik bersama skuad Lang Merah diumumkan melalui laman rasmi Facebook KFA malam ini. 

Pengurus Kedah, Syed Khairul Anuar Syed Abidin bersyukur proses pendaftaran Andik berjaya diselesaikan hari ini. 

"Kami berharap dengan kehadiran Andik yang akan menyarung jersi bernombor 30 musim ini akan memantapkan lagi jentera serangan kami. 

"Kami yakin dia akan cepat serasi dengan corak permainan kami seterusnya memberi suntikan motivasi kepada semua pemain dan penyokong yang mengharapkan kebangkitan Kedah selepas tewas dalam dua perlawanan sebelum ini."

Pemain berusia 26 tahun kelahiran Jember, Jawa Timur itu juga difahamkan menjadi rebutan enam kelab ternama liga Indonesia namun akhirnya memutuskan untuk bersama Kedah. 

Pengesahan kontrak dan pendaftaran Andik juga dimaklumkan oleh FMLLP petang tadi selepas proses termeterainya kontrak dan pemeriksaan perubatannya di Alor Setar, semalam.

Sumber: BH Online