GUA MUSANG - Seorang anggota polis yang sarat hamil ditemui meninggal dunia di ruang tamu kuarters perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini kelmarin.
Mangsa, Lans Koperal Siti Khalijah Zainal Abidin, 30, ditemui terbaring di lantai ruang tamu oleh rakannya dan dipercayai meninggal dunia lebih 12 jam.
Mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak sebelah kanan (Subdural Haemorhage) dan kandungan berusia sembilan bulan turut maut.
Difahamkan, mangsa yang turut menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis dijangka bersalin pada 9 Februari ini.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, pihaknya menerima maklumat awal mengenai penemuan mangsa daripada teman serumahnya yang juga anggota polis.
Katanya, Allahyarham tidak bertugas semalam dan tinggal seorang di rumah kerana rakannya pulang ke Kota Bharu.
"Rakannya tiba di rumah pada jam 8 malam namun pintu tidak dibuka setelah beberapa kali diketuk. Setelah berusaha membuka pintu, dia melihat arwah terbaring dan tidak sedarkan diri.
"Hasil laporan perubatan, arwah telah meninggal dunia pada jam 6 pagi selepas mengalami pendarahan otak," katanya.
Jenazah dibawa ke Hospital Gua Musang sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk dibedah siasat.
Tambah Mohd Taufik, proses tuntutan jenazah dibuat suaminya, Maarof Aman, yang juga anggota polis.
"Arwah yang bertugas di IPD Gua Musang hampir 10 tahun itu akan dikebumikan di kampung halaman ibunya, Tanah Perkuburan Kampung Mambang, Mentakab, Pahang.
"Selain suami, arwah meninggalkan seorang anak lelaki, Irfan Rafiqi Maarof, 6 tahun," katanya.
Sumber: Sinar Online