Badminton Asia Sedia Bantu BWF Perangi Gejala Atur Perlawanan


KUALA LUMPUR - Badminton Asia berikrar membantu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam apa cara sekalipun bagi memerangi gejala mengatur perlawanan.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Badminton Asia, Kenny Goh berkata, badan induk badminton serantau itu mengikuti perkembangan skandal mengatur perlawanan yang berlaku dan sedia memberi bantuan untuk memeranginya.

"Tidak ada kebaikan jika anda mengatur perlawanan. Dalam jangka masa panjang, ia hanya akan merosakkan sukan itu dan badminton akan hilang kredibiliti dalam kalangan sukan lain," kata Kenny.

"Kami (Badminton Asia) sedar dengan skandal yang sedang berlaku, yang mana dua pemain Malaysia sedang disiasat oleh BWF. Bagaimanapun kami belum dihubungi oleh badan badminton dunia.

"Secara teknikal, pemain datang dari ahli gabungan, jadi BWF berhak berhubung dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Kami di Badminton Asia percaya BWF akan dapat menyelesaikan kemelut ini."

Ditanya sama ada Badminton Asia mempunyai langkah pencegahan mereka sendiri Kenny berkata: "Saya rasa BWF mempunyai dua cara, satu menerusi sistem pemberi maklumat yang terdapat di laman sesawang mereka dan saya percaya mereka juga mempunyai kaedah saintifik untuk mengesan gejala mengatur perlawanan dalam kalangan pemain.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, Badminton Asia tidak akan bertolak ansur dalam sebarang bentuk manipulasi perlawanan dan kami akan membantu BWF memeranginya."

Minggu lalu, dalam satu laporan eksklusif, Sukan NSTP mendedahkan seorang pemain Malaysia disiasat oleh BWF berkenaan dakwaan mengatur perlawanan.

BAM kemudian mengesahkan bukan seorang tetapi dua pemain di luar badan induk itu digantung daripada semua kejohanan sepanjang siasatan dilakukan.

Kedua-dua pemain itu - yang berdepan risiko penggantungan seumur hidup sekiranya didapati bersalah - dijangka akan menghadiri perbicaraan di Singapura pada 26 dan 27 Februari ini.

Sumber: BH Online