Bantah Persempadanan Semula Hanya Gimik Pembangkang - Ahmad Bashah


Pengerusi UMNO Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hairan akan sikap pembangkang yang menolak persempadanan semula kawasan pilihan raya sedangkan pada masa sama mendakwa proses itu menguntungkan mereka.



"Kalau (betul) tak untung (Barisan Nasional) sokong lah sebab ia dapat menguntungkan parti mereka sendiri. Ini tidak, mereka yang tidak sokong cadangan tersebut dari awal lagi," katanya kepada pemberita, di Wisma Darulaman, semalam



Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Kedah Dr Azman Ismail yang percaya persempadanan semula kawasan pilihan raya akan memihak kepada pembangkang dan tidak akan menguntungkan Barisan Nasional (BN).



Mengulas lanjut, Ahmad Bashah berkata kenyataan pemimpin pembangkang itu hanyalah satu gimik untuk mewujudkan persepsi bahawa mereka mendapat sokongan rakyat.



"Ini gimik sahaja tetapi tidak apa sebab rakyat sudah buat penilaian dan keputusan hendak pilih siapa masa pilihan raya umum ke-14 nanti," katanya.



Menurutnya, rakyat sudahpun tahu siapa yang boleh membawa mereka ke depan berdasarkan kejayaan dan pembangunan yang dibuat oleh kerajaan sedia ada.



Terdahulu, Ahmad Bashah menyampaikan watikan lantikan anggota Lembaga Rayuan Negeri Kedah Sesi 2018-2021 kepada 10 individu yang berpengalaman dalam pelbagai bidang dan displin.



"Sebelum penubuhan Lembaga Rayuan pada 2000, orang awam atau syarikat yang terkilan dengan keputusan pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai saluran lain untuk merayu."



"Melalui Lembaga Rayuan ini, orang awam atau syarikat boleh mengemukakan rayuan mereka kepada badan yang berkecuali dan profesional dalam bidang perundangan dan perancangan bandar dan desa untuk membuat keputusan," katanya pada majlis itu.



-Bernama