Bapa Dari Bedong Hempas Anak 2 Tahun Ke Lantai Kerana Menangis


ALOR SETAR - Seorang bapa tergamak memukul dan menghempas kanak-kanak berusia dua tahun ke lantai rumah hanya kerana anaknya tidak mahu berhenti menangis.

Kejadian 12.30 tengah malam itu berlaku di Taman Seri Semeling, Bedong, Sungai Petani, Jumaat lalu.

Menurut sumber, ibu mangsa berusia 35 tahun sedang berada di dalam bilik tidur kerana tidak sihat, sementara suspek berusia 29 tahun bersama anak lelakinya berada di ruang tamu rumah.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid, berkata mangsa ketika itu tidak berhenti menangis, menyebabkan suspek berasa tidak selesa sebelum terus memarahi dan memukulnya.

Jelas beliau, suspek juga bertindak menghempas mangsa ke lantai menyebabkan kanak-kanak itu mengalami luka di hidung, mulut dan kepala, selain lebam di dagu.

"Ketika kejadian ibu mangsa yang berada di dalam bilik tidur menyaksikan kejadian terbabit kerana pintu bilik berkenaan yang terletak berhadapan ruang tamu terbuka.

"Susulan kejadian itu, ibu mangsa kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Bedong untuk tindakan selanjutnya," katanya memetik BH Online.

Tambah Saifi, siasatan mendapati wanita tersebut telah berkahwin dengan suspek selama tiga tahun yang merupakan perkahwinan keduanya dan memiliki dua orang anak.

"Bertindak atas maklumat itu, kita kemudian menahan suspek semalam dan direman empat hari bermula hari ini( Ahad).

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 (a) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," ujarnya. - Kedahnews.com