KUALA TERENGGANU – Selepas berdepan pelbagai rintangan, bas amfibia (Amphicoach) yang ditempah kerajaan Terengganu akhirnya tiba di Malaysia dan kini berada di Pelabuhan Klang.
Perkara ini disahkan Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Tun Ahmad Tun Abd Razak ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, bas ‘dua alam’ itu tiba di Pelabuhan Klang beberapa hari lalu dan akan diserahkan kepada wakil kerajaan Terengganu serta Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, dua hari lagi.
“Buat masa ini bas berkenaan belum boleh dibawa keluar dari Pelabuhan Klang kerana perlu menjalani beberapa prosedur antaranya pemeriksaan, pendaftaran dengan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan penyerahan dokumen.
“Belum dapat dipastikan tarikh sebenar bas amfibia ini dapat tiba di bumi Terengganu, tapi mengikut perancangan kita, sebelum Ekspo #TerengganuMolekDoh 2018 pada 25 Februari depan,” katanya.
Bas jenis amphicoach itu dibeli kerajaan negeri dengan harga RM3 juta pada 2014 dan sebelum ini dijangka tiba pada Mei 2015 untuk digunakan bagi merancakkan industri pelancongan selain bagi kegunaan ketika musim banjir.
Difahamkan kelewatan itu disebabkan keputusan kerajaan negeri yang mahu Amphicoach itu diterima dengan mematuhi sepenuhnya spesifikasi ditetapkan selain masalah transit serta persijilan yang memakan masa lama.
Akhbar juga sebelum ini melaporkan kerajaan negeri memberi kata dua kepada pembekal bas amfibia sama ada menghantar kenderaan itu ke Terengganu selewat-lewatnya hujung November 2017 atau bakal berdepan tindakan saman.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman memberi amaran itu selepas pihak pembekal beberapa kali gagal mematuhi perjanjian yang dibuat. – BH