JERTIH- Polis menahan seorang lelaki selepas cubaan melarikan pelbagai jenis barangan yang dicuri di sebuah pasar raya di Bandar Jertih, di sini, malam kelmarin gagal.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, suspek berusia 44 tahun dari Kampung Tok Raja dikatakan datang bersama isteri dan seorang anak perempuannya berusia tiga tahun sambil membeli beberapa barangan lain.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, perbuatan suspek memasukkan beberapa helai baju dan minuman berperisa coklak ke dalam beg tangan isterinya disedari kakitangan pasar raya.
Menurutnya, ketika melepasi kaunter bayaran, pengawal keselamatan bertindak menahan dan memeriksa beg wanita terbabit manakala suaminya lari meninggalkan tempat itu.
“Pengawal keselamatan menemui barangan yang dicuri dalam tersebut iaitu baju dan satu bungkus minuman berperisa coklat manakala suaminya yang melarikan diri sebelum itu datang kembali kepada isterinya,” katanya.
Mohd Zamri berkata, suspek kemudiannya diserahkan kepada polis dan saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah pil kuda.
Menurutnya, semakan juga mendapati suspek mempunyai beberapa rekod dadah lampau dan dia ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
SInar Harian difahamkan suspek pernah ditangkap oleh kakitangan pasar raya sama pada tahun lepas kerana cuba mencuri tetapi dilepaskan selepas diberi amaran dan nasihat namun malangnya dia mengulangi perbuatan sama dan tertangkap lagi.
Suspek dikatakan juga sengaja membawa isteri dan anaknya untuk mengaburi mata orang ramai termasuk pengawal keselamatan pasar raya.
Sumber: Sinar Online