LANGKAWI - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) Tan Sri Khalid Ramli kembali ke pulau ini dengan azam untuk melaksanakan satu konsep Jepun dikenali sebagai ‘Ikigai’ melalui jawatan baharunya.
Setelah bersara pada Disember 2016, Khalid, yang berehat selama setahun sebelum bersetuju menjadi pengerusi Tropical Charters Sdn Bhd pada Januari lepas, berkata Langkawi amat dekat di hatinya dan yakin masih banyak perkara yang mampu beliau sumbang kepada pulau peranginan ini.
“Dulu, saya berada di sebelah sana pagar (sebagai CEO Lada), tetapi sekarang saya memainkan peranan berbeza (sebagai pengerusi Tropical Charters) dan berhasrat membawa syarikat ini ke suatu tahap kecemerlangan lain pula,” katanya pada sesi pengenalan media semalam.
Beliau berkata konsep "Ikigai", bermaksud "sebab untuk wujud", sesuai dengan Tropical Charters, sebuah syarikat perkhidmatan pelancongan ditubuhkan pada 2009, untuk mengubah rancangan perniagaannya yang melibatkan pengenalan produk baharu dan penjenamaan semula produk sedia ada.
“Kami akan terapkan pengalaman Ikigai ke dalam produk dan nilai kami dengan tujuan bukan sahaja untuk meningkatkan jumlah pelancong Jepun, tetapi juga pelancong dari negara lain, yang ingin memahami dengan lebih mendalam tentang konsep itu,” katanya.
Khalid berkata dalam mempromosi konsep itu, Tropical Charters, yang sebelum ini memberi tumpuan terhadap perkhidmatan pelancongan marin, akan memulakan satu produk ekopelancongan baharu, terutama untuk pelancong mewah di Pulau Tuba, yang menjadi sebahagian daripada gugusan kepulauan Langkawi.
“Kami juga akan menyusun perancangan baharu bagi aktiviti CSR (tanggungjawab sosial korporat) kami supaya usaha ini memberi manfaat kepada syarikat dan penerimanya, sejajar dengan falsafah Langkawi sebagai sebuah Global Geopark,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tropical Charters Datuk Alexander Isaac berkata pelantikan Khalid sebagai pengerusi akan mengubah syarikat itu untuk menjadi satu daripada penggiat utama pelancongan di sini yang mencapai tahap baharu kecemerlangan.
“Beliau (Khalid) membawa bersamanya pengalaman dan pengetahuan luas, yang tidak mungkin kami capai dengan sendiri, terutama semasa beliau menerajui Lada, sehingga membolehkan Langkawi melakar lonjakan besar dalam pembangunan pelancongan,” katanya. - Bernama