Bekas Guru Kemas Dianugerah Tokoh Peladangnita Kedah


POKOK SENA - Kegigihannya membantu mengangkat martabat peladang wanita di Pokok Sena menyebabkan beliau terpilih menjadi Tokoh Peladangnita Kedah 2017.

Rohani Morat, 67, dari Kampang Padang, Mukim Gajah Mati tidak menyangka terpilih sebagai Tokoh Peladangnita Kedah 2017 yang diumumkan pada Konvesyen Peladangnita Kedah dan Road Tour Peladangnita Kebangsaan Ke Negeri Kedah, baru-baru ini.

Katanya, beliau terharu dengan pengiktirafan yang diberikan kerana sejak dilantik ketua dalam 29 unit peladangnita dengan keahlian 300 peserta, beliau berjaya meningkatkan taraf pendapatan golongan tersebut.

“Saya sangat gembira kerana sebelum ini beberapa peserta peladangnita yang berada di bawah garis kemiskinan berjaya mempertingkatkan pendapatan mereka dengan melibatkan diri dalam sektor pertanian dan kemahiran.

“Setiap kali mesyuarat saya sering mengingatkan bahawa untuk maju, mereka memerlukan pengorbanan serta rajin. Bagi mencapai kejayaan, kita perlu berani menghadapi pelbagai dugaan yang mendatang,” kata bekas guru Kemas itu.

Menurutnya, sebagai ketua unit peladangnita di Pokok Sena, beliau berperanan memberi semangat, mencari pasaran serta mencari peluang pinjaman yang diberikan oleh kerajaan.

Tujuan penubuhan peladangnita itu adalah bagi menggalakkan lebih ramai wanita menjadi ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK). Ini diharap dapat meningkatkan ekonomi dan kualiti keluarga selaras dengan Dasar Pembangunan Wanita Negara.

“Saya berharap dengan kejayaan ini akan memberi kekuatan dan semangat untuk memperjuangkan nasib wanita di Pokok Sena ini selaras dengan 2018 ini yang merupakan Tahun Memperkasa Wanita,” katanya.

Sumber: Sinar Online