Bekas Pemimpin PAS Kini Terima Balasan Akibat Langgar Sumpah Bai'ah?



BEKAS pemimpin PAS terutama wakil rakyat yang meninggalkan parti kini berada dalam keadaan tertekan  mungkin sedang menerima balasan dan kesan daripada perlanggaran sumpah bai'ah yang mereka lafazkan ketika berada di dalam PAS dahulu.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh berkata, bekas pemimpin PAS itu nampaknya sedang berada dalam keadaan tertekan apabila mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.

 Beberapa  kenyataan (Mahfuz Omar)  memberi gambaran bahawa mereka (yang keluar PAS) sudah berada di zon yang sangat tertekan apabila parti mereka (PAN) tidak mendapat sambutan dalam kalangan rakyat, kata Nik Zawawi.

"Mereka keluar daripada PAS beramai-ramai dan Alhamdulillah tidak ada yang mengikut mereka kecuali jumlah yang sangat sedikit, " ujarnya yang dipetik daripada Antarapos semalam.

 Beliau merujuk kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena yang mendakwa penarikan semula darjah dan bintang kebesaran beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) menjadikan anugerah darjah dan bintang kebesaran 'tidak lagi bernilai di mata rakyat'.

 Mahfuz yang juga bekas Naib Presiden PAS dan bekas Pesuruhjaya PAS Kedah meninggalkan  PAS secara rasmi sebelum Januari tahun ini dan kini  belum mengisytiharkan diri untuk menyertai mana-mana politik dalam pakatan pembangkang.

Kata Nik Zawawi lagi kenyataan Mahfuz itu juga menggambarkan macam orang yang merajuk, orang yang bercakap tanpa matlamat perjuangan yang jelas.

"Apa benda sahaja pun dia komen, dan bagi saya mereka yang melanggar bai'ah yang dibuat di dalam PAS tidak akan selamat di dunia dan akhirat," katanya  lagi.

PAS dijangka menggugurkan sumpah bai'ah talak tiga yang perlu dilafazkan calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berikutan kesetiaan ahli dan kekuatan parti itu didakwa semakin kukuh.

Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamedbaur-baru ini berkata kandungan sumpah bai'ah itu akan diselaraskan bagi setiap negeri dan dijangka tidak lagi menyentuh isu perceraian.

Beliau berkata, tindakan itu dilaksanakan berikutan parti tidak lagi berdepan keadaan genting seperti pernah berlaku dalam politik Kelantan.

Kelantan sebelum ini pernah berdepan keadaan politik yang genting hingga memaksa bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat memasukkan kandungan sumpah bai'ah yang boleh menggugurkan talak ke atas isteri mereka. 

Pemimpin Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Abdul Samad menyifatkan sumpah baiah dijadikan senjata politik oleh PAS sehingga menimbulkan kekeliruan dan perdebatan dalam kalangan masyarakat Islam.

Sementara itu PAS sebelum ini  mengingatkan Mahfuz bahawa beliau tetap terikat dengan bai'ah walau ia tidak termasuk dengan lafaz cerai susulan tindakan pemimpin itu keluar daripada parti Islam itu.
Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ada tiga komponen dalam lafaz bai'ah semua pemimpin PAS yang perlu diingati Mahfuz yang antaranya beliau perlu mengosongkan kerusi disandangnya.

Malah mereka yang tinggalkan PAS tetapi masih menjadi Wakil Rakyat juga disifatkan menikmati pendapatan dan elaun yang dikhuatiri 'haram.' - Kedahnews.com