BILA kali terakhir anda dapat menikmati hidangan lengkap dengan harga bawah RM2 sepinggan? Pastinya semasa zaman persekolahan, kan.
Namun, seorang peniaga di Ipoh, Perak telah melakukan sesuatu yang boleh dikatakan ‘tidak masuk akal’ pada zaman ini iaitu menjual nasi ayam taugeh pada harga RM1.30 sepinggan!
Shahrizan Azmed, 37, menjual nasi ayam istimewanya itu di sebuah kopitiam di Taman Ipoh Timur Baru.
Oleh kerana harganya yang terlalu murah, gerai Shahrizan sentiasa menjadi tumpuan pelanggan setiap hari.
Shahrizan akui dia hanya memperoleh keuntungan yang sedikit daripada jualannya, namun dia berkata dia memasang niat untuk ‘bersedekah dalam berniaga’.
“Saya mahu semua orang, termasuklah yang mempunyai masalah kewangan, untuk menikmati makanan yang disediakan saya tanpa perlu membelanjakan wang yang banyak.
“Saya harap inisiatif saya ini membolehkan lebih ramai orang untuk makan di luar.
“Kebanyakan pelanggan saya amat menghargai peluang untuk berjimat cermat sambil menikmati makanan kegemaran mereka,” kata Sharizan.
Salah seorang pelanggan tetapnya, Azizi Abdul Rahman, berkata pada mulanya, dia skeptikal terhadap harga nasi ayam RM1.30 yang diceritakan oleh rakannya.
“Susah nak percaya hari ini ada orang yang jual nasi ayam pada harga semurah ini hanya untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan.
“Saya terkejut apabila mengetahui peniaganya ialah orang Melayu oleh kerana nasi ayam biasanya dijual oleh kaum Cina,” katanya lagi.
Ayam taugeh merupakan hidangan popular di Ipoh dan biasanya dimakan bersama-sama nasi atau hor fun (kuey teow) yang dihidangkan sama ada dengan sup atau kering.
Hidangan ini selalunya berharga RM10 seorang di kedai-kedai makan terkenal yang menghidangkan ayam taugeh di Ipoh. - Kedahnews.com