Bicara Kes Guru Didakwa Pukul Murid 3 Mei


NIBONG TEBAL - Mahkamah Majistret Jawi menetapkan 3 Mei depan sebagai tarikh perbicaraan bagi kes seorang guru, Noor Idzahril Ahmad, 52, yang didakwa memukul seorang murid, Ogos lalu.

Majistret Hizween Azleena Othman Kamal membuat ketetapan itu selepas pihak pendakwaan menyerahkan laporan perubatan kepada mahkamah.

Peguam Mohd Fadhly Yaacob yang mewakili Noor Idzahril berkata, pihaknya memohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan yang paling awal berikutan kes berkenaan membabitkan kepentingan awam.

“Kami mencadangkan tarikh perbicaraan pada Mac iaitu pada sesi cuti persekolahan, namun mahkamah mempunyai beberapa kes lain pada waktu itu.

“Pihak kami telah bersedia dengan semua dokumen dan akan memuktamadkan saksi bersama anak guam kami,” katanya ketika ditemui di sini tadi.


Pada 11 Disember tahun lalu, Noor Idzahril mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa yang ketika itu berusia sembilan tahun di Kelas 3 Bestari Sekolah Kebangsaan Seri Sentosa, Nibong Tebal di sini pada 10 pagi, 2 Ogos tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Uzair Abd Munir.

Sementara itu, kira-kira 50 penyokong Noor Idzahril termasuk daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di pekarangan mahkamah di sini sebagai tanda solidariti kepada guru berkenaan.

Turut hadir, Presiden Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia, Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad dan Presiden Gabungan Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS), Zambri Mohd Isa.

Sumber: Sinar Online