Brunei Kempen Murid Minum Air Kosong, Bukan Milo


BANDAR SERI BEGAWAN  – Ketika negara jirannya, Malaysia kecoh dengan isu produk Milo yang didakwa mengandungi kadar gula tinggi tidak sesuai untuk murid bersarapan, lain hal di Brunei.

Negara kecil kaya minyak di Borneo itu dilaporkan mempergiatkan kempen Lakas Tah Minum Air Kosong dalam usaha berterusan menggalakkan murid sekolah elak minuman bergula termasuk Milo yang diimport dari Malaysia.

Sebaliknya media tempatan melaporkan Kementerian Kesihatan Brunei mempromosikan tabiat minum air kosong dimasak termasuk di rumah dan membudayakan amalan bawa bekal air jenis tersebut ketika berada di sekolah.

Langkah terbaharu itu sekali gus menjadikan Brunei negara kedua di dunia selepas Amerika Syarikat (AS) mulai tahun lalu melancarkan program secara besar-besaran bagi didik murid lebih minum air kosong sepanjang masa.

Kempen bersepadu itu menunjukkan hasil positif selepas 12 bulan dilaksanakan apabila kadar kegemukan pelajar di AS jatuh mendadak selain tahap kesihatan kanak-kanak sekolah meningkat baik dan kurang risiko kencing manis.

Sementara itu di Brunei pula, usaha unik tersebut disasarkan bermula di sekolah rendah oleh Pusat Promosi Kesihatan kementerian terbabit dengan kerjasama kumpulan pelajar asasi Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Negara kesultanan Melayu Islam itu pada ketika ini memiliki puluhan ribu murid sama ada di bawah pihak kerajaan atau swasta yang belajar di 206 buah sekolah aliran rendah dan 47 buah aliran menengah serta 19 aliran agama.

Kempen Lakas Tah Minum Air Kosong 2018 dengan slogan Lakas Tah Minum Air turut menyaksikan berbagai-bagai aktiviti menarik telah diadakan dengan murid sekolah bagi menyokong usaha gaya hidup sihat berkenaan.

Antaranya kuiz bersama-sama UBD, peraduan minum air bagi murid prapersekolahan, peraduan susun teka-teki bagi murid darjah 1 dan 2, peraduan cipta slogan minum air serta peraduan buat poster berkaitan air kosong.

Kempen Kementerian Kesihatan Brunei itu juga diisi dengan sesi ceramah kepentingan meminum air kosong dan bahaya minuman tinggi gula secara berlebihan yang disampaikan sendiri oleh para pelajar persediaan dari UBD.

Dengan adanya kempen ini, ia diharap akan memupuk tabiat pelajar untuk lebih selesa berbekalkan bekas berisi air kosong untuk diminum sepanjang tempoh persekolahan dan amalan tidak suka dengan air minuman yang manis.

Usaha positif seperti ini amat penting bagi bantu mengurangkan pengambilan minuman tinggi gula seawal usia lagi susulan hasil kajian selidik Status Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan yang dijalankan beberapa tahun lepas.

Laporan kajian tersebut amat mengejutkan banyak pihak apabila ia mendapati sebanyak 34.6 peratus kanak-kanak berumur lima sehingga 14 tahun di seluruh Brunei amat gemar minuman yang tinggi kadar gula pada setiap hari.

Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk ibu bapa menyarankan anak beralih kepada minum air kosong demi melahirkan generasi Brunei yang sihat pada masa akan datang. - Kedahnews.com